Siaran Akhbar : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 November. - Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) turut mengongsikan maklumat mengenai tiga sesi pendakwaan yang dijalankan hasil daripada Operasi Kakas 2026 serta dua sesi pendakwaan hasil daripada Operasi Sepadu Gate Keeper 2026 yang dikendalikan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN).
Hasil daripada Operasi Kakas 2026, Sukatun, seorang perempuan warganegara Republik Indonesia berumur 55 tahun mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Bab 36, Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu masuk semula ke negara ini setelah diusir secara sah dan Bab 6(1)(C), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai Pas Imigresen yang sah.
Pertuduhan pertama ialah individu berkenaan dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan dikenakan denda BND800 sebagai ganti sebatan, manakala pertuduhan kedua dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan dan denda BND800 sebagai ganti sebatan.
Walau bagaimanapun, individu tersebut gagal untuk membayar kedua-dua denda berkenaan dan diganti dengan sebulan penjara untuk tuduhan pertama, sementara sebulan penjara untuk tuduhan kedua yang mana menjadikan jumlah pemenjaraan individu berkenaan kepada setahun dan dua bulan penjara. Hukuman berkuat kuasa mulai dari tarikh individu ditangkap pada 3 November 2026.
Sementara Betti Pebri Raya, seorang perempuan warganegara Republik Indonesia berumur 35 tahun mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Bab 6(1)(C), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai Pas Imigresen yang sah.
Individu berkenaan dijatuhkan hukuman tiga bulan dan denda sebanyak BND800 sebagai ganti sebatan. Walau bagaimanapun, individu berkenaan gagal untuk membayar denda tersebut dan diganti dengan sebulan penjara yang mana menjadikan jumlah pemenjaraan individu berkenaan kepada empat bulan penjara. Hukuman berkuat kuasa mulai dari tarikh individu berkenaan ditangkap pada 3 November 2026. Manakala Iin Purwanti, juga seorang perempuan warganegara Republik Indonesia berumur 42 tahun mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu tinggal lebih masa di negara ini.
Individu berkenaan dijatuhkan hukuman empat bulan dan denda sebanyak BND800 sebagai ganti sebatan. Walau bagaimanapun, individu tersebut gagal untuk membayar denda berkenaan dan diganti dengan sebulan penjara yang mana menjadikan jumlah pemenjaraan individu berkenaan kepada lima bulan penjara. Hukuman berkuat kuasa mulai dari tarikh individu ditangkap pada 3 November 2026.
Sementara itu, hasil daripada Operasi Sepadu Gate Keeper 2026, dua sesi pendakwaan telah dijalankan, melibatkan Md. Nazmul, seorang lelaki warganegara Republik Rakyat Bangladesh berumur 26 tahun mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah Pas Imigresen mansuh.
Individu berkenaan dijatuhkan hukuman penjara selama lima bulan dan tiga kali sebatan. Hukuman berkuat kuasa mulai pada 18 November 2026.
Sementara Md. Yasin Arafat, juga seorang lelaki warganegara Republik Rakyat Bangladesh berumur 21 tahun mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport dan Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah Pas Imigresen mansuh.
Individu berkenaan dijatuhkan hukuman empat bulan dan tiga kali sebatan dengan denda sebanyak BND600. Walau bagaimanapun, individu berkenaan gagal untuk membayar denda tersebut dan diganti dengan sebulan penjara yang mana menjadikan jumlah pemenjaraan individu tersebut kepada lima bulan penjara dan tiga kali sebatan. Hukuman berkuat kuasa mulai dari tarikh individu berkenaan direman pada 18 November 2026.
Bagi sebarang maklumat kesalahan di bawah JIPK, sila hubungi talian Hotline Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang di talian +673 8734888 atau +673 8753888 (Bandar Seri Begawan) atau +673 8984111 (Kuala Belait).