Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Azmah Haji Ahad
GADONG, Sabtu, 3 Oktober. – Seramai 54 Rekrut Konstabel Polis Lelaki Skuad 1/2026 telah berjaya menamatkan Latihan Asas Kepolisan selama sembilan bulan, yang berakhir dengan Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad Besar, Pusat Latihan Polis (PLP), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.
Turut hadir, pengarah-pengarah, timbalan-timbalan pengarah, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, anggota dan kakitangan PPD serta ahli keluarga para rekrut yang diraikan.
Upacara dimulakan dengan pemeriksaan barisan oleh tetamu kehormat majlis.
Kemudian diikuti dengan ucapan daripada Pesuruhjaya Polis yang antara lain menyentuh mengenai cabaran sepanjang menjalani Latihan Asas Kepolisan yang menguji ketahanan mental dan fizikal para rekrut.
Jelasnya lagi, latihan berkenaan bertujuan mempersiapkan mereka agar mampu melaksanakan tugas kepolisan dengan berkesan, yakin dan penuh tanggungjawab.
Dato Paduka Seri Awang Sulaiman turut mengingatkan kembali titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi Baginda, khususnya mengenai kepentingan kejujuran, ketelusan, tanggungjawab dan disiplin yang kukuh dalam memastikan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis terus utuh.
Nilai-nilai berkenaan katanya lagi, juga penting sebagai benteng dalam menghadapi cabaran moral dan etika dalam melaksanakan tugas.
Sehubungan itu, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman menyeru seluruh warga pasukan agar mengekalkan tahap disiplin yang tinggi serta menghayati deklarasi yang diikrarkan oleh setiap warga polis ketika mula berkhidmat di bawah Bab 21, Akta Pasukan Polis Diraja.
Beliau turut menekankan agar para rekrut dan seluruh warga PPDB sentiasa menghayati serta mempraktikkan jati diri dan nilai-nilai teras pasukan, bukan sahaja ketika bertugas, malah dalam kehidupan seharian.
Seterusnya, tetamu kehormat majlis menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para rekrut terbaik.
Anugerah Rekrut Terbaik dalam Akademik disampaikan kepada Rekrut 7214 Awangku Ahmed Syakir bin Pengiran Adi Puspa, manakala Rekrut Terbaik dalam Latihan Jasmani pula diterima oleh Rekrut 7200 Muhammad Hadizul Farhan bin Haji Muhammad Zailaney.
Sementara Rekrut 7224 Muhammad Hadi Mus'liadi bin Hasmadi pula dianugerahkan sebagai Rekrut Terbaik dalam Kawad dan Terbaik Keseluruhan.
Bacaan Doa Selamat bagi memberkati upacara berkenaan disempurnakan oleh Imam Surau Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Md. Yusri bin Haji Abu Bakar.
Upacara diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan masa cepat, diikuti dengan bacaan ikrar polis oleh para rekrut. Setelah itu, barisan rekrut mara ke hadapan untuk diperhati semula. Perbarisan diakhiri dengan para rekrut keluar baris dalam masa perlahan menandakan tamat latihan dan telah menjadi Konstabel Polis baharu yang terlatih.
Selesai upacara perbarisan, atur cara diteruskan di Dewan Serbaguna PLP dengan acara menandatangani lembaran kenang-kenangan oleh tetamu kehormat majlis, diikuti sesi memperkenalkan Konstabel Polis baharu yang berjaya menamatkan latihan serta sesi bergambar ramai.
PPDB merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Konstabel Polis Lelaki Skuad 1/2026 atas kejayaan menamatkan latihan dengan cemerlang serta mengucapkan selamat maju jaya dalam melaksanakan tugas dan amanah sebagai warga PPDB demi agama, raja, bangsa dan negara.