Penghargaan buat pesara Kementerian Kewangan atas sumbangan bakti

4 Okt 2026 - 6:43am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 Oktober. - Majlis Penyampaian Cenderamata Persaraan bagi pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di dalamnya yang telah bersara pada 2025 telah diadakan pada hari ini, bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, di sini.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian cenderamata pada majlis berkenaan, Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di dalamnya berserta pegawai dan kakitangan yang telah bersara pada 2025.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Setiausaha Tetap (Fiskal), Kementerian Kewangan, Awang Haji Asrul Adrain bin Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad, selaku Pengerusi Majlis, dan seterusnya diselajurkan dengan penyampaian cenderamata oleh tetamu kehormat majlis.

Seramai 47 pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di dalamnya yang telah bersara pada 2025.

Antara lain objektif majlis berkenaan diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada pegawai dan kakitangan yang telah bersara atas sumbangan bakti yang telah dicurahkan semasa bertugas di Kementerian Kewangan.

Di samping itu, ia juga bertujuan bagi mengekalkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan antara pegawai dan kakitangan yang telah bersara dan yang masih berkhidmat di Kementerian Kewangan.

Majlis Penyampaian Cenderamata Persaraan Kementerian Kewangan telah diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manunsia dan Hal Ehwal Korporat, Kementerian Kewangan.