Latihan HSE perkukuh piawaian keselamatan penyedia perkhidmatan pelancongan

4 Okt 2026 - 6:33am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, 3 Oktober, Sabtu. - Seramai 10 peserta daripada Penyedia Perkhidmatan Pelancongan (TSP) yang berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) berjaya menamatkan Program Latihan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) sebagai usaha memperkukuh amalan keselamatan dalam sektor hospitaliti dan pelancongan di negara ini.

Peserta terdiri daripada wakil Freme Adventure Park, Bruwanderco, Roda Impian, Mori Farm, Eco Ponies Garden, Woodland Wonders Camp, IAM Food, Jerudong Park Country Club, B2N Nature Camp dan Liang Lumut Recreational Club (LLRC).

Majlis Penyampaian Sijil Latihan HSE bagi TSP tersebut berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI).

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Industri), KEPI, Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.

Program latihan selama dua hari itu berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos 2026 di Berjaya Aman Sendirian Berhad dan dianjurkan oleh JKP.

Program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan piawaian keselamatan, menggalakkan amalan operasi yang bertanggungjawab serta memperkukuh pengetahuan asas mengenai HSE dalam kalangan pihak berkepentingan dalam industri hospitaliti dan pelancongan khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti dan operasi pelancongan.

Inisiatif berkenaan menyokong usaha bagi memastikan aspek keselamatan terus menjadi keutamaan dalam penyampaian perkhidmatan, selaras dengan keperluan negara, garis panduan berkaitan serta amalan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sepanjang latihan, para peserta diberikan pemahaman mengenai tanggungjawab perundangan berkaitan HSE di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (Bab 277), di samping prinsip-prinsip utama termasuk pengenalpastian bahaya, penilaian risiko, prosedur kerja selamat dan langkah-langkah kawalan yang bersesuaian dengan operasi masing-masing.

Latihan juga merangkumi aspek keselamatan kebakaran, pertolongan cemas, tindak balas kecemasan, pengurusan krisis serta pelaporan insiden bagi meningkatkan kesedaran peserta terhadap keperluan keselamatan di tempat kerja.

Selain itu, peserta turut mengikuti kajian kes, latihan praktikal dan pemerhatian di tapak (‘site observation’) bagi membantu penerapan prinsip HSE dalam situasi sebenar.

Aktiviti-aktiviti tersebut membolehkan para peserta mengenal pasti potensi bahaya dengan lebih baik serta memahami langkah-langkah yang bersesuaian dalam mengurus risiko, di samping memperkukuh kesiapsiagaan mereka untuk bertindak secara berkesan ketika menghadapi kecemasan dan situasi tidak dijangka yang lain.

Program berkenaan menyumbang kepada pengukuhan keupayaan dan profesionalisme TSP tempatan melalui peningkatan pengetahuan serta penerapan amalan HSE.

Ia juga menyokong pembangunan industri yang lebih kompeten dan mempunyai kesedaran keselamatan yang tinggi, sekali gus menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan hospitaliti dan pelancongan yang selamat, bertanggungjawab dan berkualiti di Negara Brunei Darussalam.

Latihan HSE berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JKP dalam meningkatkan piawaian keselamatan, memperkukuh amalan pengurusan risiko serta menggalakkan penyampaian perkhidmatan yang bertanggungjawab dalam sektor hospitaliti dan pelancongan.

Inisiatif tersebut turut menyumbang kepada persediaan sektor berkenaan menjelang Tahun Melawat Brunei 2027 dengan menyokong penyampaian pengalaman kepada para pengunjung yang selamat, profesional dan berkualiti tinggi, selain terus memperkukuh standard keseluruhan serta daya saing sektor hospitaliti dan pelancongan.