Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Belia dan Sukan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 20 September. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah menghantar enam orang peserta belia bagi menyertai Program MUSTAID - Kem Pembangunan Kemahiran Belia Antarabangsa yang akan berlangsung selama enam hari bermula 20 hingga 25 September 2026 bertempat di Jabal Al Akhdar, Kesultanan Oman.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haswandi bin Haji Osman.
Kesemua peserta yang terpilih mengikuti program ini merupakan peserta daripada Program Youth Leadership, Innovation, Talent and Empowerment (Y-LITE), sebuah platform latihan pembangunan belia yang dikendalikan oleh JBS, KKBS.
Program MUSTAID merupakan program kerjasama di antara Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Belia Kesultanan Oman dengan Outward Bound Oman, sebuah institusi pendidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Program ini berobjektif bagi menyediakan golongan belia untuk menghadapi pelbagai cabaran serta memberikan impak yang berkekalan menerusi kurikulum latihan berasaskan pembelajaran pengalaman (‘experiential learning’) yang inovatif, di samping membekalkan peserta dengan kemahiran dalam kerja berpasukan.
Sepanjang program berkenaan, para peserta akan mengikuti pelbagai aktiviti perkhemahan luar seperti mendaki, pertandingan serta bengkel, di samping lawatan ke tempat menarik di sekitar Muscat.
Objektif program ini juga bagi melengkapkan peserta dengan kemahiran masa hadapan, iaitu pembelajaran sepanjang hayat, kepimpinan, penyelesaian masalah, fleksibiliti dan kebolehsuaian, pemikiran kritis, komunikasi, kreativiti dan inovasi serta pengurusan projek.
Menerusi penyertaan dalam program ini, para peserta diharap dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kefahaman mengenai pembangunan belia serantau, di samping memanfaatkan pengalaman, ilmu dan kemahiran yang diperoleh bagi menyumbang ke arah pembangunan belia yang lebih berdaya saing di Negara Brunei Darussalam.