Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Selasa, 20 Oktober. - Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh berucap melihat ke arah masa depan, kita tidak dapat menafikan bahawa Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI), automasi dan teknologi digital semakin mempengaruhi cara kita belajar, bekerja dan menyelesaikan pelbagai urusan.
AI, tambah Yang Berhormat, sememangnya merupakan teknologi yang berkeupayaan besar. Seiring dengan keupayaan ini, AI perlu dimanfaatkan dalam pembelajaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan para graduan terus berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang.
“Namun, dalam kita memanfaatkan kemajuan teknologi, kita perlu memastikan penggunaannya tidak menghakis keupayaan diri. Renungkan - sejauh mana kita memanfaatkannya untuk berkembang, dan sejauh mana pula kita mula bergantung kepadanya. Kita perlu berhati-hati supaya kemudahan tidak bertukar menjadi kebergantungan.
“Kita tidak boleh membiarkan kemudahan teknologi melemahkan keupayaan diri. Kemahiran yang tidak diasah akan semakin tumpul, manakala pemikiran yang tidak dilatih boleh menyebabkan kita menjadi terlalu bergantung kepada bantuan luar,” ujar Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kali Ke-34 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, pagi tadi.
Oleh itu, jelas Yang Berhormat, gunakanlah AI sebagai alat untuk mempertingkatkan kecekapan dan potensi diri, bukan sebagai pengganti kepada kemahiran, pengetahuan dan pertimbangan manusia yang mana semua ini perlu dibina dan dibentuk melalui pembelajaran dan pengalaman sendiri.
Kongsi Yang Berhormat, TVET memberikan pengalaman pembelajaran yang praktikal dan berorientasikan industri. Di bengkel, makmal, kelas dan tempat latihan, para pelajar belajar melalui pengalaman sebenar - mencuba, membuat kesilapan, membuat pembetulan dan mencuba lagi. Proses inilah yang membantu membina kemahiran dan keyakinan.
Teknologi mungkin boleh memberikan cadangan, tetapi pengalaman yang banyak mengajar untuk membuat sesuatu pertimbangan dengan baik jelas Yang Berhormat lagi. Oleh yang demikian, terang Yang Berhormat lagi, dalam dunia yang semakin dipengaruhi AI, kemahiran manusia menjadi semakin penting dan bernilai.
“Kita memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja celik teknologi tetapi mempunyai asas teknikal yang kukuh, mampu berfikir secara kritikal, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan penuh tanggungjawab,” tambah Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menyeru para graduan untuk beringat bahawa mereka bukan sekadar bakal tenaga kerja tetapi juga merupakan generasi yang akan mencorak masa depan negara.
Perkara ini, ujar Yang Berhormat, adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-21, Tahun 2026, yang menekankan bahawa, ‘belia adalah merupakan pewaris masa depan dalam semua bidang, khasnya bidang ilmu dan kemahiran. Bidang ini amat mencabar, tetapi golongan belia mampu untuk menanainya, bahkan sekali gus menjadi pencorak masa depan negara’.
Baginda, jelas Yang Berhormat, turut menekankan kepentingan belia untuk bukan sahaja merebut peluang yang ada, malah menjadi pengguna teknologi dan pemacu ekonomi progresif yang berdaya tahan.
“Titah ini membawa satu pesanan yang amat bermakna kepada para graduan. Dalam menghadapi perubahan teknologi dan dunia pekerjaan, awda bukan sahaja perlu bersedia menyesuaikan diri, tetapi juga berani merebut peluang, mengembangkan kemahiran dan menyumbang kepada kemajuan negara,” ujar Yang Berhormat lagi.