Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya
Foto : Mohammad Hasif Matzin
GADONG, Selasa, 20 Oktober. - Kejayaan wakil qariah Negara Brunei Darussalam, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki, meraih tempat ketiga dalam Kategori Tilawah Perempuan pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66 Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi di Kuala Lumpur, Malaysia, diraikan pada Majlis Penyampaian Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca Al-Quran yang berlangsung di Presidential Lounge, Tingkat 8, Rizqun International Hotel, Gadong di sini.
Dayangku Siti Ummi Syazana memperoleh markah sebanyak 90.83 peratus dalam pertandingan yang berlangsung pada 6 hingga 9 Oktober 2026, sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Awang Mohammad Hashim bin Haji Abdullah, Hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66 Tahun 1448H / 2026M di Kuala Lumpur, Malaysia.
Dalam ucapan, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan bahawa Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca Al-Quran merupakan antara inisiatif kementerian untuk memberikan galakan dan sokongan kepada qari dan qariah negara dalam meningkatkan mutu bacaan serta membuat persediaan menghadapi pertandingan, khususnya di peringkat antarabangsa.
Menurut Yang Berhormat, skim yang diperkenalkan pada tahun 1990 itu menjadi salah satu wadah dalam mempersiapkan wakil negara menghadapi musabaqah antarabangsa, di samping usaha para qari dan qariah mendapatkan bimbingan daripada guru-guru Al-Quran di dalam dan luar negara.
Yang Berhormat turut menekankan kepentingan meneruskan usaha membimbing dan menggilap bakat sejak kecil agar mereka mampu mencapai tahap penguasaan yang tinggi, mewakili negara serta membimbing generasi seterusnya. Kesinambungan usaha berkenaan diharap dapat melahirkan barisan qari dan qariah yang lebih mantap, di samping menyuburkan penghayatan Al-Quran dalam masyarakat.
Acara diteruskan dengan persembahan bacaan Al-Quran oleh Dayangku Siti Ummi Syazana, diikuti tayangan video.
Majlis diakhiri dengan penyampaian Skim Penggalak Kecemerlangan Membaca Al-Quran yang disampaikan oleh tetamu kehormat kepada Dayangku Siti Ummi Syazana sebagai pengiktirafan atas kejayaan beliau dalam pertandingan berkenaan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; ketua-ketua jabatan; hakim-hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M; Pegawai-pegawai Kanan KHEU serta keluarga qariah.