Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
JERUDONG, Selasa, 20 Oktober. - Keperluan bagi platform seperti Mesyuarat Para Pendakwa Raya / Peguam Negara ASEAN (APAGM) semakin penting berikutan peningkatan jenayah rentas sempadan dari segi skala, kepantasan dan kerumitannya.
Jenayah seperti pemerdagangan orang, perdagangan dadah haram, pengubahan wang haram, penipuan dalam talian serta jenayah lain yang didorong oleh teknologi tidak mengenal sempadan dan tidak dapat ditangani secara berkesan oleh sesebuah perkhidmatan pendakwaan secara bersendirian.
Sehubungan itu, APAGM berperanan menyokong dan mempercepat kerjasama perundangan antarabangsa dalam bidang pendakwaan, menggalakkan pembangunan keupayaan serta perkongsian maklumat dan pengalaman dalam kalangan pendakwa raya ASEAN, di samping menyelaras dan menyokong badan-badan sektoral ASEAN yang lain dalam melaksanakan mandat masing-masing.
Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib menjelaskan perkara tersebut semasa berucap pada Mesyuarat APAGM Kali Pertama bertempat di The Empire Brunei, di sini.
Yang Berhormat Peguam Negara turut menegaskan bahawa usaha berkenaan perlu melengkapi mekanisme ASEAN sedia ada tanpa pertindihan fungsi, berlandaskan rundingan dan konsensus serta menghormati sepenuhnya kedaulatan negara dan kepelbagaian sistem perundangan setiap Negara Anggota.
Pendekatan tersebut diharap dapat menyumbang secara bermakna ke arah merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 serta pembentukan ASEAN yang berteraskan kedaulatan undang-undang dan berpusatkan rakyat.
Menurut Yang Berhormat, antara agenda utama mesyuarat termasuk pertimbangan Laporan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan APAGM (SOM-APAGM) Kali Pertama yang diadakan pada 19 Oktober 2026, cadangan Pelan Kerja APAGM, penyampaian kenyataan Ketua-ketua Delegasi serta pertimbangan dan penerimaan Kenyataan Bersama (Joint Communiqué).
Yang Berhormat berharap agar keputusan yang dicapai dalam mesyuarat sulung itu dapat membentuk hala tuju yang jelas bagi pelaksanaan tugas pegawai-pegawai kanan serta menjadi pemangkin kepada kerjasama pendakwaan yang lebih mendalam dan praktikal, berasaskan kepercayaan bersama dan semangat persahabatan ASEAN.
Dalam pada itu, Yang Berhormat turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Peguam Negara Republik Indonesia, Pejabat Peguam Negara Kerajaan Thailand dan Pejabat Pendakwaan Agung Mahkamah Agung Kerajaan Kemboja atas kepimpinan bersama dalam proses perundingan ke arah penubuhan APAGM.
Penghargaan juga ditujukan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada proses berkenaan, termasuk mereka yang menandatangani deklarasi penubuhan sebelum beralih kepada tanggungjawab lain.
Mesyuarat yang dihoskan oleh Pejabat Peguam Negara, Negara Brunei Darussalam (NBD) itu menghimpunkan ketua-ketua pendakwa raya dan peguam negara serta perwakilan daripada kesemua 11 Negara Anggota ASEAN, termasuk Setiausaha Agung ASEAN, bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang pendakwaan dan perkara-perkara berkaitan.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Yang Berhormat Peguam Negara.
APAGM ditubuhkan melalui Deklarasi Sanur Bali (Sanur Bali Declaration) sebagai platform khusus bagi pihak berkuasa pendakwaan ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani jenayah rentas sempadan.
Penubuhan platform tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mempererat kerjasama serantau dalam bidang pendakwaan serta memperkukuh kedaulatan undang-undang di seluruh ASEAN.
Mesyuarat turut mengalu-alukan inisiatif Pelan Kerja Pegawai-Pegawai Kanan APAGM 2026-2030 (Senior Officials’ APAGM Work Plan 2026-2030), susulan perbincangan dalam mesyuarat berasingan yang dipengerusikan oleh NBD pada 19 Oktober 2026.
Pelan kerja berkenaan akan menjadi panduan dalam melaksanakan keutamaan APAGM, dengan tumpuan kepada pengukuhan kerjasama pendakwaan, pembangunan keupayaan institusi serta perkongsian maklumat dan amalan terbaik dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.
Mesyuarat juga menekankan kepentingan penyelarasan erat dengan badan-badan ASEAN yang berkaitan bagi memastikan usaha menangani jenayah rentas sempadan dilaksanakan secara saling melengkapi, khususnya dalam menghadapi perkembangan pesat pendigitalan dan kemajuan teknologi.
Mesyuarat diakhiri dengan penerimaan Kenyataan Bersama APAGM Kali Pertama, yang menyaksikan Negara-negara Anggota ASEAN menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh penyelarasan antara pihak berkuasa pendakwaan masing-masing bagi memastikan tindak balas yang lebih cepat, tepat pada masanya dan berkesan terhadap jenayah rentas sempadan.