AITI memperkukuh saluran pembangunan bakat ICT tempatan

30 Okt 2026 - 7:30am

Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 Oktober. - Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI) telah mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah bagi Program Perantisan Digital TechXPLORE Kohort 3, hari ini.

Majlis ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan AITI untuk melahirkan tenaga kerja Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) tempatan yang berkemahiran, berdaya menyesuaikan diri dan bersedia untuk memenuhi keperluan industri, sekali gus menyumbang kepada masa depan digital Negara Brunei Darussalam (NBD).

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Eksekutif AITI, Awang Haji Jailani bin Haji Buntar, merangkap Ketua Bersama Kumpulan Kerja Jawatankuasa Pemandu Industri Tenaga Kerja bagi ICT (MISC-WG ICT).

Turut hadir, ahli-ahli dan wakil MISC-WG ICT, Pasukan Kepimpinan Kanan AITI, wakil daripada Mindtrex Academy Sdn. Bhd., para peserta TechXPLORE Kohort 3 serta ibu bapa dan penjaga mereka.

Program Perantisan Digital TechXPLORE, yang merupakan singkatan bagi Tech Experience Learning Overseas in a Real-Working Environment ialah inisiatif AITI yang bertujuan merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan keperluan industri melalui pemberian pengalaman praktikal kepada graduan ICT tempatan dalam persekitaran kerja di luar negara.

Lima peserta yang terpilih mempunyai latar belakang akademik yang pelbagai dalam bidang keselamatan siber, keselamatan maklumat, kecerdasan buatan dan analitik data. Bidang-bidang ini mencerminkan kepakaran digital yang semakin penting seiring dengan perkembangan landskap ICT masa kini.

Mereka adalah Awangku Abdul Afif Johnis bin Pengiran Abd. Aziz, Ijazah Sarjana Muda Sains Digital dalam bidang Keselamatan Siber dan Forensik, Universiti Brunei Darussalam (UBD); Muhammad Noor Akma bin Abdullah Alinoor, Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Keselamatan Maklumat, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Muhammad Syahmi bin Aladin, Ijazah Sarjana Muda Sains Digital dalam bidang Kecerdasan Buatan Gunaan, UBD.

Seterusnya, Zulfa 'Alyaa binti Haji Muhammad Aiman, Ijazah Sarjana Muda Sains Digital dalam bidang Keselamatan Siber dan Forensik, UBD dan Siti Raudhah binti Haji Mohd. Salleh, Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Pengkomputeran, pengkhususan Analitik Data, serta Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Keselamatan Siber, UTB.

Program TechXPLORE dirangka untuk mempersiapkan para peserta menghadapi tuntutan pasaran pekerjaan ICT melalui program pembangunan berstruktur selama tujuh bulan. Program ini merangkumi satu bulan latihan persediaan di NBD, diikuti dengan enam bulan penempatan industri di Republik Indonesia.

Sepanjang program ini, setiap peserta akan ditempatkan dalam salah satu daripada peranan berikut iaitu Pembangun Web Bahagian Belakang (Back-end Web Developer), Pembangun Bahagian Hadapan (Front-end Developer), Pereka UI/UX (UI/UX Designer) dan Penganalisis Data (Data Analyst). Penempatan ini mencerminkan kepelbagaian peranan profesional dan kemahiran yang diperlukan dalam industri ICT.

Para peserta akan berpeluang mengaplikasikan pengetahuan akademik melalui tugasan praktikal dan projek ICT sebenar, meningkatkan keupayaan teknikal serta memperoleh pendedahan kepada persekitaran kerja profesional.

Di samping itu, mereka juga akan membangunkan kompetensi penting di tempat kerja, termasuk kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi, kerja berpasukan, kebolehsuaian dan disiplin profesional.

Hasil pekerjaan para peserta TechXPLORE terdahulu memberikan petunjuk awal terhadap sumbangan positif program ini dalam pembangunan kerjaya mereka. Ini terbukti apabila separuh daripada peserta bagi dua kohort terdahulu telah memperoleh pekerjaan selepas menamatkan program tersebut.

AITI mengiktiraf kepentingan kerjasama antara pihak kerajaan, institusi pendidikan dan rakan industri bagi memastikan inisiatif pembangunan kemahiran sentiasa memenuhi keperluan tenaga kerja yang berubah-ubah serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital NBD.

Sehubungan itu, AITI akan terus menyokong pembangunan graduan tempatan melalui inisiatif seperti Program Perantisan Digital TechXPLORE.

AITI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mindtrex Academy Sdn. Bhd. atas kerjasama dan sokongan berterusan dalam menjayakan Program Perantisan Digital TechXPLORE. AITI juga mengucapkan tahniah kepada kelima-lima peserta Kohort 3 yang akan memulakan perjalanan mereka dalam program TechXPLORE.