Akhlak Rasulullah jadi panduan raih keredaan Allah

8 Sep 2026 - 6:51am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Ihsan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kupang

KUPANG, Isnin, 7 September. - Usaha meraih keredaan Allah Subhanahu Wata'ala bukan sekadar melalui pelaksanaan ibadah dan peningkatan ilmu, malah perlu disertai dengan usaha memperbaiki akhlak serta meneladani keperibadian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Perkara tersebut ditekankan oleh Penolong Kaunselor di Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali, dalam Ceramah Khas sempena Sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah bertajuk ‘Inspirasi Uswatun Hasanah’, yang berlangsung di Masjid Kampung Kupang malam tadi.

Menurut Awang Fariszal, dalam usaha menuju keredaan Allah Subhanahu Wata'ala, umat Islam sememangnya dituntut untuk melaksanakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Namun, jelasnya, usaha tersebut perlu disertai dengan pembentukan akhlak yang baik kerana amalan tanpa usaha memperbaiki akhlak boleh menyebabkan amalan menjadi sia-sia kerana itulah kita dituntut menjadikan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai inspirasi.

Ceramah Khas yang disampaikan juga turut mengingatkan bahawa Allah Subhanahu Wata’ala telah menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan terbaik sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21, yang bermaksud, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa sekiranya seseorang ingin meraih keredaan Allah Subhanahu Wata'ala dan memperoleh balasan baik di akhirat, maka akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam hendaklah dijadikan teladan dalam kehidupan, di samping memperbanyakkan zikir dan mengingati Allah dalam apa jua keadaan, sama ada ketika susah mahupun senang.

Ceramah turut mengetengahkan beberapa kelebihan meneladani akhlak Rasulullah antara memperoleh kecintaan Allah Subhanahu Wata'ala, menjadi insan yang lebih baik, membina hubungan yang baik dengan orang lain, membentuk peribadi yang profesional dan amanah serta menguatkan jiwa dalam menghadapi pelbagai ujian kehidupan.

Awang Fariszal seterusnya menegaskan bahawa kejayaan dalam kehidupan tidak hanya diukur berdasarkan ilmu, pangkat mahupun harta, tetapi turut dinilai melalui akhlak dan keperibadian seseorang.

Oleh itu, umat Islam diseru agar sentiasa berusaha memperbaiki akhlak dengan menjadikan Rasulullah sebagai contoh ikutan dalam kehidupan seharian, sekali gus membentuk peribadi yang mulia dan mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin, yang juga selaku Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kupang serta para jemaah dari sekitar kawasan berkenaan.