Siaran Akhbar : Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama
BERAKAS, Isnin, 7 September. - Berdasarkan pemantauan dan penilaian semula terhadap tahap kualiti udara semasa, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ingin memaklumkan bahawa semua institusi pendidikan akan beroperasi secara bersemuka mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan bersyarat mulai Selasa, 8 September 2026.
Ketetapan ini adalah mengikut garis panduan yang berkuat kuasa mulai esok bagi semua sekolah rendah, sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta sekolah ugama, sekolah Arab dan institut tahfiz di bawah kawalan KHEU.
Bagi bacaan PSI antara 51 hingga 100 iaitu Tahap Baik dan Sederhana, semua institusi pendidikan beroperasi seperti biasa dan mengurangkan aktiviti fizikal di luar bilik darjah.
Sementara itu, bagi bacaan PSI antara 101 hingga 150 iaitu Tidak Sihat, semua institusi pendidikan beroperasi secara bersemuka dan bersyarat mengikut SOP; Mengehadkan aktiviti di luar bilik darjah bagi pelajar-pelajar di bawah umur 5 tahun; Menghindarkan aktiviti luar darjah bagi pelajar yang berisiko; dan Aktiviti diadakan di dalam kawasan ataupun ruang yang tertutup.
Manakala bacaan PSI antara 151 hingga 200 iaitu Tidak Sihat, sekolah-sekolah peringkat rendah beroperasi secara Pembelajaran Berasaskan Rumah (Home-Based Learning - HBL), iaitu sama ada secara dalam talian atau menyediakan Home Learning Pack (HLP).
Bagi sekolah-sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam untuk bersekolah secara bersemuka dengan bersyarat iaitu Pertama : Sekolah mempunyai infrastruktur serta kemudahan-kemudahan yang mencukupi seperti bilik-bilik darjah atau ruangan yang berhawa dingin atau mempunyai alat penyejuk udara (air coolers).
Penyediaan penapis udara (air filters) adalah sangat digalakkan; Kedua : Menghadapkan Pelan Kesinambungan Operasi (Business Continuity Plan - BCP) masing-masing ke Jabatan Sekolah-Sekolah atau Jabatan Pendidikan Swasta di bawah Kementerian Pendidikan atau Jabatan Pengajian Islam di bawah KHEU.
Bagi bacaan PSI melebihi 201 iaitu Sangat Tidak Sihat, semua institusi pendidikan beroperasi secara HBL, iaitu sama ada secara dalam talian atau menyediakan HLP dan bagi institusi pengajian tinggi mengaktifkan BCP masing-masing bagi memastikan kesinambungan pembelajaran dan pengajaran.
Kementerian Pendidikan dan KHEU akan terus memantau keadaan jerebu serta membuat penilaian dari semasa ke semasa bagi menentukan ketetapan mengenai pengoperasian institusi-institusi pendidikan mengikut bacaan PSI di daerah masing-masing. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran rasmi.
Sehubungan itu, semua institusi pendidikan, termasuk pengajian tinggi, dinasihatkan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) Insiden Menangani Jerebu, dengan mengambil kira keadaan kualiti udara semasa serta mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan.
Kementerian Pendidikan dan KHEU merakamkan penghargaan atas kerjasama dan keprihatinan para pelajar, ibu bapa dan penjaga serta seluruh warga institusi pendidikan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta peperiksaan sepanjang tempoh ini.