Siaran Akhbar dan Foto : Syarikat Pengajian Al-Muflihun
BELAIT, Jumaat, 27 November. – Dalam usaha memelihara kesucian masjid sebagai tempat ibadah serta menjaga keindahan persekitaran kawasan tanah perkuburan, Syarikat Pengajian Al-Muflihun (Al-Muflihun) dan Private Quran Teacher (PQT) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Bukit Sawat dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Sawat telah menganjurkan sebuah Program Khidmat Masyarakat : Masjidku Bersih Siri Ke-3 di Masjid Bukit Sawat dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Sawat.
Hadir bagi menyertai kerja-kerja pembersihan tersebut, Pengasas Al-Muflihun, Awangku Abdul Qayum bin Pengiran Bakar; dan Pengasas PQT, Dayang Nur Darwismah binti Dahari yang juga selaku Pengerusi Program.
Turut hadir bagi menyokong sama dan menyertai program yang dilaksanakan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, juga Ketua Kampung Bukit Sawat, Daerah Belait; dan Ketua Kampung Merangking, Awang Nurulizam bin Abdul Rahman.
Seramai 60 peserta yang terdiri daripada golongan masyarakat setempat hadir untuk menyertai aktiviti kempen yang juga turut diperbantukan dengan penglibatan mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Penglibatan berkenaan merupakan usaha Al-Muflihun dan PQT dalam menyokong sama keperluan pelajar dalam memenuhi syarat wajib kokurikulum bagi kod kursus Tanggungjawab Sosial dan Khidmat Masyarakat.
Kempen kebersihan dijalankan secara serentak di kedua-dua tempat. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah bergotong-royong membersihkan kawasan dalam masjid yang merangkumi ruangan solat utama, tempat penyimpanan buku-buku dan kawasan luar masjid termasuk kawasan tempat berwudhu, tempat letak kereta dan laluan longkang.
Selain itu, para peserta turut memucang-mucang membersihkan kawasan tanah perkuburan yang berhampiran daripada semak-samun, rumput liar, dan daun-daun kering bagi memastikan kawasan tersebut sentiasa bersih, teratur dan selesa untuk dikunjungi oleh orang ramai yang ingin menziarahi pusara keluarga mereka.
Acara turut diselajurkan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah beramai-ramai yang diketuai oleh Pemangku Imam Masjid Kampung Bukit Sawat, Awang Muhammad Ridaudin bin Ramli bagi mendoakan kesejahteraan ahli keluarga dan penduduk kampung yang telah kembali ke rahmatullah.
Dengan adanya aktiviti berkenaan, ia dapat meningkatkan lagi semangat kerohanian masyarakat dalam sentiasa mendoakan insan yang telah tiada.
Menurut Pengerusi Program, penganjuran aktiviti berkebajikan seumpama berkenaan bukan sahaja bertujuan bagi memastikan persekitaran masjid dan tanah perkuburan sentiasa bersih, teratur dan selesa untuk kegunaan orang ramai, malah menjadi wadah untuk mengeratkan lagi silaturahim serta menyemai rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.
Al-Muflihun dan PQT juga berhasrat agar penganjuran program berkenaan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang menerusi kawasan masjid-masjid yang ada di negara ini.