Aktiviti riadah dukung gaya hidup sihat

21 Sep 2026 - 6:20am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 20 September. - Unit Pemulihan Cara Kerja, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), melalui Program Pemulihan Jantung (Cardiac Rehabilitation) dan Program Harapan, pagi tadi mengadakan aktiviti beriadah di Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara.

Aktiviti berkenaan menghimpunkan peserta Program Pemulihan Jantung dan pesakit yang telah pulih dari kanser ginekologi, untuk mengikuti senaman pagi ringan, aktiviti kesihatan dan sesi sosial dalam kalangan para peserta.

Menerusi aktiviti ini, para peserta dari kedua-dua program juga berpeluang melanjutkan pemulihan mereka dan meneruskan amalan gaya hidup aktif di luar persekitaran hospital, di samping turut serta dalam aktiviti fizikal dan berinteraksi sesama peserta dalam persekitaran komuniti.

Aktiviti beriadah itu dimulakan dengan sesi pemanasan badan, diikuti dengan senaman ringan, aktiviti berkumpulan, berjalan dan interaksi sosial sesama peserta lain.

Para peserta turut digalakkan untuk bersenam mengikut keupayaan masing-masing, berehat secukupnya apabila perlu, dan menikmati aktiviti tersebut mengikut kemampuan mereka sendiri.

Malahan, aktiviti ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan sosial dalam kalangan peserta dan mempromosikan kepentingan mengekalkan gaya hidup aktif selepas menamatkan program pemulihan mereka. 

Aktiviti tersebut diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai serta mesej semangat, ‘Bersama Kita Bergerak, Bersama Kita Sembuh, Bersama Kita Sejahtera’.

Dalam pada itu, pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, kakitangan kementerian kesihatan serta pihak-pihak yang terlibat atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan aktiviti tersebut.