Anugerah PB iktiraf pencapaian cemerlang graduan, warga, rakan industri

28 Okt 2026 - 8:21am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BERAKAS, Selasa, 27 Oktober. – Seramai 31 graduan Politeknik Brunei (PB) Tahun 2026 menerima pengiktirafan atas pencapaian cemerlang mereka pada Majlis Anugerah Cemerlang 2026 yang berlangsung di Cesar Grand Hall, Mulia Hotel, di sini, sempena Majlis Konvokesyen PB Ke-12 Tahun 2026.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Duta Besar Republik Rakyat China kepada 13 pelajar PB, selain pengiktirafan kepada sembilan kakitangan PB dan 10 rakan industri atas sumbangan serta kecemerlangan masing-masing.

Para penerima anugerah terdiri daripada graduan dan pelajar daripada pelbagai program di bawah lima sekolah di PB, iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Sekolah Sains Kesihatan, dan Sekolah Petrokimia.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah berkenaan, Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Pengerusi Lembaga Gabenor PB.

Turut hadir, Minister Counsellor and Deputy Chief of Mission, Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Chen Chuan, yang mewakili Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Masjid Universiti Brunei Darussalam, Pengiran Muhd. Nasiruddin bin Pengiran Haji Abu Bakar.

Pemangku Pengarah PB, Awang Lim Kian Boon dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang graduan, warga PB dan rakan industri, sekali gus mencerminkan dedikasi, ketekunan, kecemerlangan dan kepimpinan mereka.

Beliau turut menekankan pengenalan Anugerah Penghargaan Industri pada tahun ini sebagai mengiktiraf sumbangan rakan industri yang terus menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman kepada para pelajar.

Menurutnya lagi, kerjasama berkenaan merangkumi peluang menjalani pembelajaran berasaskan industri, latihan amali dan penempatan klinikal, selain bimbingan melalui program mentor, semakan kurikulum serta peluang pekerjaan kepada graduan.

"Kerjasama ini juga diperluaskan ke peringkat antarabangsa menerusi Program PB Intern.X, yang memberikan peluang kepada para pelajar untuk memperoleh pengalaman dalam industri luar negara, meluaskan perspektif, membina rangkaian profesional dan merealisasikan aspirasi kerjaya masing-masing.

"Majlis ini turut menegaskan semula komitmen PB untuk terus mengekalkan standard pendidikan dan latihan yang tinggi bagi menyokong pencapaian Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, dan seterusnya menyumbang kepada tenaga kerja negara, selaras dengan keperluan negara serta nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB)," ujarnya lagi.

Acara kemuncak ialah penyampaian anugerah kepada 31 graduan di bawah empat kategori, iaitu Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Kecemerlangan Aktiviti Pengayaan, dan Anugerah Inovasi.

Anugerah Pelajar Terbaik telah diberikan kepada Dayang Nurfatin Syahirah Syakirah binti Ahmad, yang telah menamatkan pengajian dengan Diploma Tahap 5 dalam Sains Kesihatan (Kejururawatan) dari Sekolah Sains Kesihatan. Dayang Nurfatin Syahirah Syakirah juga merupakan salah seorang daripada 24 penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik.

Sementara itu, Anugerah Duta Besar Republik Rakyat China yang ditaja oleh Kedutaan Besar Republik Rakyat China di NBD, turut disampaikan kepada 13 penerima daripada 13 program yang berbeza, dan disempurnakan oleh Minister Counsellor and Deputy Chief of Mission, Kedutaan Besar Republik Rakyat China di NBD.

Majlis Anugerah Cemerlang pada tahun ini turut merangkumi dua kategori tambahan, iaitu Anugerah Kecemerlangan Kakitangan PB 2026 dan Anugerah Penghargaan Industri 2026.

Sembilan kakitangan PB menerima Anugerah Kecemerlangan Kakitangan, sementara 10 rakan industri menerima Anugerah Penghargaan Industri yang disampaikan oleh tetamu kehormat.

Sebagai tanda penghargaan atas sokongan terhadap penganjuran majlis, seramai 21 penaja turut menerima cenderamata penghargaan.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Gabenor PB, wakil Kementerian Pendidikan, wakil Kedutaan Besar Republik Rakyat China di NBD, juri Anugerah Inovasi serta para penaja Majlis Anugerah Kecemerlangan.

Turut hadir, Pemangku Penolong Pengarah (Korporat, Perancangan dan Pembangunan) PB, Dayang Hajah Rosmiati binti Haji Abdul Majid; Pemangku Penolong Pengarah (Akademik), Pemangku Pengetua PB, serta beberapa Ketua Bahagian dan Sekolah, pegawai, dan ibu bapa, penjaga serta ahli keluarga penerima anugerah yang turut berbangga dengan pencapaian mereka.