Projek Teduh sedia kehidupan lebih selamat, terjamin

28 Okt 2026 - 8:31am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

TUTONG, Selasa, 27 Oktober. - Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) meneruskan komitmennya untuk menambah baik kehidupan keluarga yang kurang bernasib baik melalui Projek Teduh, dengan dua lagi keluarga di Kampung Kuala Ungar, Daerah Tutong, mendapat manfaat daripada inisiatif perumahan komuniti pihak bank yang bertujuan untuk menyediakan keadaan hidup yang lebih selamat lagi terjamin.

Penerima yang diraikan pada hari ini, iaitu Awang Bohhari bin Awang Suboh dan Awang Hirulsham bin Mohd. Hanafi, masing-masing merupakan penerima ke-10 dan ke-11 Projek Teduh. Di bawah inisiatif berkenaan, ia menandakan satu lagi peristiwa penting dalam usaha berterusan program tersebut untuk menangani keperluan perumahan dalam kalangan keluarga yang kurang bernasib baik, serta memperkukuh kesejahteraan jangka panjang dan daya tahan sosioekonomi mereka.

Bagi kedua-dua keluarga di Kampung Kuala Ungar berkenaan, inisiatif tersebut merupakan langkah penting ke arah jaminan hidup yang lebih baik dan ketenangan fikiran, di samping menyediakan asas yang lebih kukuh untuk kesejahteraan jangka panjang mereka.

Hadir bagi menyerahkan secara rasmi rumah berkenaan kepada para penerima, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi BIBD.

Turut hadir sama, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad; bersama Ahli-ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Awang Haji Hassan bin Haji Metali; Pemangku Setiausaha MUIB, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin; Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah.

Juga hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap, Ahli-ahli Badan Penasihat Syariah BIBD, serta pihak pengurusan kanan dan kakitangan BIBD, di samping wakil-wakil daripada pihak berkepentingan yang berkaitan dan rakan kongsi projek. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen kolektif ke arah menyokong kesejahteraan keluarga yang kurang bernasib baik serta memperkukuh daya tahan komuniti.

Dibiayai melalui zakat perniagaan BIBD, Projek Teduh yang dilancarkan pada penghujung 2025 mencerminkan komitmen pihak bank untuk menterjemahkan prinsip-prinsip kewangan Islam kepada impak sosial yang bermakna. Berpandukan Maqasid Syariah, inisiatif berkenaan merangkumi nilai-nilai belas kasihan, tanggungjawab sosial, dan pemeliharaan maruah insan, bagi memastikan manfaat perbankan Islam dapat dinikmati oleh komuniti yang memerlukan sokongan.

Inisiatif berkenaan turut disokong oleh pendekatan kolaboratif yang melibatkan seluruh negara, dengan menggabungkan usaha agensi kerajaan, organisasi korporat, kakitangan BIBD, serta rakan kongsi komuniti.

Melalui perkongsian sumber, kepakaran, dan tanggungjawab bersama, Projek Teduh memperlihatkan bagaimana kerjasama yang bermakna mampu menghasilkan penyelesaian praktikal bagi memenuhi keperluan komuniti, sekali gus membawa perubahan yang berkekalan dalam kehidupan masyarakat.

Sebagai institusi kewangan Islam terkemuka di Negara Brunei Darussalam (NBD), BIBD menyedari bahawa peranannya melangkaui sekadar perbankan. Melalui inisiatif seperti Projek Teduh, pihak bank terus menyumbang ke arah menangani cabaran sosial serta menggalakkan pembangunan komuniti yang inklusif, khususnya dalam kalangan golongan yang memerlukan serta kurang mendapat akses kepada bantuan.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada Rangka Kerja Kelestarian Kumpulan BIBD, khususnya di bawah tonggak Impak Sosial Inklusif, yang tertumpu kepada mewujudkan manfaat yang bermakna dan berkekalan untuk masyarakat.

Selain inisiatif kemasyarakatan sedia ada seperti BIBD ALAF dan BIBD SEED, Projek Teduh mencerminkan pendekatan holistik BIBD terhadap pembangunan komuniti dengan menyokong keperluan asas, memperluas peluang, serta memperkukuh daya tahan keluarga.

Projek Teduh turut menyumbang kepada aspirasi negara menerusi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan keterangkuman sosial, serta membina masyarakat yang prihatin dan berdaya tahan.

Dengan menyokong keluarga yang memerlukan perumahan yang sewajarnya, BIBD berhasrat untuk membantu mewujudkan asas yang lebih kukuh bagi kesejahteraan jangka panjang serta penyertaan yang lebih luas dalam pembangunan negara.

Pelaksanaan berterusan Projek Teduh, yang kini telah memanfaatkan penerima ke-11, mengukuhkan lagi komitmen BIBD untuk menghulurkan bantuan yang bermakna kepada komuniti di seluruh NBD, di samping memastikan inisiatif impak sosialnya memberikan manfaat nyata kepada pihak yang paling memerlukannya.

Sebagai Rakan Kemajuan (Partner in Progress), dan berpandukan prinsip Bruneian at Heart, BIBD kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan, rakan-rakan strategik, dan masyarakat umum demi mewujudkan penambahbaikan yang bermakna serta mampan dalam kehidupan orang ramai.

Menerusi Projek Teduh, BIBD berharap untuk terus menyediakan lebih daripada sekadar tempat berlindung. Setiap kediaman melambangkan harapan, maruah, dan keselamatan yang baharu, di samping meletakkan asas bagi keluarga yang lebih kukuh, komuniti yang lebih berdaya tahan, serta masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.