Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohammad Hasif Matzin
GADONG, Selasa, 27 Oktober. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) meraikan pencapaian graduan dan pelajar cemerlang menerusi Majlis Aspirasi Kecemerlangan Akademik sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-16 yang berlangsung di sebuah hotel di Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah serta hadiah akademik ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada penaja dan penyumbang serta penerimaan sumbangan Waqaf Tarbiyah daripada graduan Konvokesyen Ke-16 KUPU SB.
Sumbangan berkenaan melambangkan penghargaan para graduan terhadap KUPU SB, khususnya staf akademik, atas khidmat dan bimbingan yang diberikan sepanjang tempoh pengajian mereka.
Terdahulu, Penolong Ra'es II (Hal Ehwal Akademik) KUPU SB selaku Pengerusi Bersama Majlis, Dr. Norasimah binti Haji Omar, dalam ucapan alu-aluannya berkata, majlis berkenaan bertujuan meraikan pencapaian graduan dan pelajar cemerlang, selain menjadi sumber inspirasi kepada warga KUPU SB untuk terus memperkukuh iltizam dalam menjulang kecemerlangan institusi.
Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis KUPU SB, jemputan khas, pegawai eksekutif, pegawai utama, pensyarah serta pegawai dan kakitangan KUPU SB, selain penerima anugerah dan hadiah akademik yang diraikan.