Bacaan Yaa Siin, Tahlil sempena Hari Guru Ke-36

20 Sep 2026 - 5:25am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 September. - Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan, hari ini, mengadakan Majlis  Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil bersempena dengan Sambutan Hari Guru Kali Ke-36, Tahun 2026 di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, di sini.

Majlis keagamaan tersebut khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi  Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak  Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta Al-Marhum Duli Yang  Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka  Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Hadir sama pada majlis petang tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim  bin Pengiran Haji Hassan dan Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji  Norarfan bin Haji Zainal.

Turut hadir, Setiausaha  Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad; Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Rektor  Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan KHEU dan Kementerian Pendidikan.

Acara turut disertai oleh para pegawai, guru-guru serta pelajar-pelajar dari institusi pendidikan di bawah  Kementerian Pendidikan dan KHEU. 

Bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai dipimpin oleh Nazir  Khas, Jabatan Pengajian Islam, Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat, diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah. Majlis diakhiri  dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. 

Selain sebagai usaha menyemarakkan lagi Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 bagi Negara Brunei  Darussalam, majlis seumpama itu juga bagi memohon keberkatan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala atas majlis yang diadakan, di samping mengenang jasa dan mendoakan para guru yang telah kembali ke rahmatullah.

Tema bagi Majlis Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 ialah 'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi'.