Memperkukuh kompetensi dalam melaksanakan MRA-TP

20 Sep 2026 - 5:19am

Siaran Akhbar : Jabatan Kemajuan PelanconganFoto : Tangkap Layar RTB

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 September. - Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan telah berjaya memperakui 15 peserta yang terdiri daripada ahli akademik dan pengamal industri hospitaliti sebagai ASEAN National Assessor in Housekeeping. Program ini telah diadakan bermula 15 hingga 19 September 2026 di J Hotel.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Setiausaha Tetap (Industri), KEPI, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim. Turut hadir, Pemangku Pengarah Kemajuan Pelancongan, Dayang Hajah Salinah binti Haji Mohd. Salleh.

Program ini bertujuan untuk memperkukuh kompetensi para peserta dalam melaksanakan ASEAN Mutual Recognition Arrangement on Tourism Professionals (MRA-TP), khususnya dalam penilaian dan pensijilan tenaga kerja pengemasan selaras dengan ASEAN Common Competency Standards for Tourism Professionals (ACCSTP).

Program ini juga bertujuan untuk melengkapkan para peserta dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menjalankan penilaian yang adil, konsisten dan berasaskan kompetensi, di samping memastikan standard perkhidmatan pengemasan, yang merupakan aspek penting dalam pengalaman tetamu (guest experience), dikekalkan pada tahap yang tinggi serta sejajar dengan piawaian serantau ASEAN.

Penilai yang diperakui memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti dan profesionalisme industri hospitaliti dengan memastikan tenaga kerja pengemasan memenuhi standard kompetensi yang ditetapkan di bawah ACCSTP.

Melalui proses penilaian yang berwibawa, telus dan konsisten, mereka menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran serta menyokong penyertaan berterusan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam rangka kerja ASEAN MRA-TP.

Penyempurnaan program ini akan melengkapkan para peserta dengan pengetahuan, kompetensi penilaian dan pertimbangan profesional yang diperlukan untuk menjalankan penilaian berasaskan kompetensi selaras dengan ACCSTP.

Sebagai Penilai Nasional yang diperakui, mereka akan menyumbang kepada kualiti, konsistensi dan kredibiliti proses penilaian dan pensijilan bagi tenaga kerja pengemasan di NBD. Ini seterusnya akan memperkukuh tenaga kerja industri hospitaliti negara serta menyokong penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada para pelawat, khususnya selaras dengan persiapan negara bagi Tahun Melawat Brunei 2027.

Sejak tahun 2012, ASEAN telah memformalkan Peraturan Saling Pengiktirafan (Mutual Recognition Arrangements – MRAs), yang memudahkan mobiliti tenaga profesional pelancongan di seluruh negara-negara anggota serta menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan dan latihan berasaskan kompetensi. MRA-TP juga menyokong kerjasama serantau dan pembangunan kapasiti dengan mengiktiraf kelayakan serta kompetensi tenaga profesional pelancongan yang berkemahiran.

MRA bagi Tenaga Profesional Pelancongan disokong oleh ASEAN Common Competency Standards for Tourism Professionals (ACCSTP), yang menggariskan kompetensi minimum yang diperlukan merentasi enam bahagian pekerjaan.

Bahagian-bahagian ini merangkumi 32 peranan pekerjaan, termasuk ‘housekeeping’, perkhidmatan kaunter hadapan, perkhidmatan makanan dan minuman, pengeluaran makanan, agensi pelancongan dan operasi lawatan.

Sebagai menunjukkan komitmennya terhadap piawaian serantau dan pembangunan profesional yang berterusan, Jabatan Kemajuan Pelancongan telah memperakui sejumlah tenaga profesional pelancongan, termasuk 14 peserta sebagai ASEAN National Trainers dalam bidang Kaunter Hadapan, 11 orang sebagai ASEAN National Assessors dalam bidang Kaunter Hadapan, 19 orang sebagai ASEAN National Trainers dalam bidang Pengeluaran Makanan dan 19 orang sebagai ASEAN National Trainers dalam bidang ‘housekeeping’.

Inisiatif-inisiatif ini akan menyumbang kepada usaha menangani jurang kemahiran dalam industri, meningkatkan profesionalisme dan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan, serta menggalakkan pengiktirafan dan mobiliti tenaga profesional pelancongan NBD.

Jabatan Kemajuan Pelancongan kekal komited untuk meneruskan inisiatif pembangunan kapasiti ini bagi memastikan rantaian nilai pelancongan NBD disokong oleh tenaga kerja yang berkemahiran dan kompeten, dengan penyampaian perkhidmatan yang mencerminkan profesionalisme, kualiti dan pematuhan kepada piawaian serantau yang diiktiraf selaras dengan ASEAN MRA-TP.