Oleh : Khartini Hamir
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 September. – Sekolah Menengah Katok (SMK) dengan persembahan mereka ‘Jipin Laila Sembah’ telah dinobatkan sebagai juara pada peringkat akhir Pertandingan Dendang Tari Melayu Brunei Bagi Sekolah-Sekolah Menengah, Maktab dan Pusat Tingkatan Enam Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini.
Sementara, naib juara disandang oleh Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) dengan persembahan mereka ‘Adai-Adai’, manakala tempat ketiga dijuarai oleh Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) dengan membawakan persembahan mereka ‘Dundang-Dundang’.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Pada pertandingan peringkat akhir berkenaan, sebanyak tujuh buah sekolah menengah, maktab dan Pusat Tingkatan Enam (PTE) telah menyertai pertandingan tersebut, dengan jumlah keseluruhan seramai 91 pelajar.
Pertandingan Dendang Tari Melayu Brunei bagi sekolah-sekolah menengah, maktab dan PTE tahun 2026 merupakan sebuah pertandingan persembahan pentas yang berkonsepkan nyanyian dan tarian.
Ia merupakan julung kali dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kesenian dan Kreativiti dengan kerjasama Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, KKBS.
Antara objektif pertandingan berkenaan diadakan adalah untuk menggalakkan dan menarik minat para pelajar untuk mengenali serta mempelajari gerak tari tarian-tarian Brunei asli, di samping mendendangkan iramanya dengan cara yang lebih kreatif.
Pertandingan berkenaan juga bertujuan untuk meningkatkan kebolehan dan keyakinan para pelajar dalam mempersembahkan nyanyian dan tarian berirama lagu-lagu tradisi Brunei asli.
Selain itu, pertandingan berkenaan dihasratkan dapat memupuk semangat cintakan seni budaya serta meningkatkan penghargaan terhadap warisan masyarakat Brunei dalam kalangan para pelajar.