Bazar Jualan Muhibbah mendukung pembangunan usahawan tempatan

15 Sep 2026 - 7:06am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BERAKAS, Isnin, 14 September. - Dalam usaha menyokong serta memberi ruang dan peluang kepada pengusaha-pengusaha 1K1P dan para penjaja tempatan untuk terus mempromosikan dan menjual produk mereka masing-masing, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga pagi tadi menganjurkan Program Bazar Jualan Muhibbah yang diadakan di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, di sini.

Hadir menyempurnakan pembukaan rasmi bazar berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, selaku Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh dan Ketua Kampung Subok.

Terdahulu acara dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa yang dibacakan oleh Ketua Kampung Menunggol, Awang Haji Ibrahim bin Haji Osman.

Sejurus itu diteruskan dengan penyerahan derma Tabung Amal Daerah Brunei dan Muara, diikuti dengan acara pembukaan rasmi, sesi bergambar ramai dan lawatan ke gerai-gerai jualan.

Bazar ini menampilkan lebih dari 80 penjaja yang mempromosi dan menjual produk mereka merangkumi pelbagai kategori seperti makanan dan minuman, kraftangan dan pakaian.

Selain sebagai salah satu program kalendar aktiviti MPK Sungai Bunga 2026, penganjuran bazar ini juga sejajar dengan usaha untuk menghidupkan ekonomi komuniti, merancakkan aktiviti keusahawanan tempatan dan menggalakkan budaya membeli dan berbelanja di negara sendiri.

Di samping menyediakan ruang dan peluang kepada para penguasa 1K1P dan pengusaha tempatan untuk meraih pendapatan, ia juga bagi memupuk perpaduan dan kesefahaman di kalangan ahli-ahli MPK Sungai Bunga dan ahli-ahli jawatankuasa yang terlibat.