Kekal fokus, jaga disiplin, kebajikan

15 Sep 2026 - 7:37am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji SulaimanFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Isnin, 14 September. - Para atlet yang akan mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Sukan Asia Ke-20 di Aichi/Nagoya, Jepun, diingatkan supaya sentiasa menumpukan perhatian, dan memberikan fokus sepenuhnya sepanjang pertandingan.

Di samping itu, para atlet dan pegawai-pegawai yang terlibat juga diingatkan untuk sentiasa menjaga disiplin, serta mematuhi dan menghormati, apa jua peraturan dan garis pandu, yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Demikian sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bokiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen NBD ke Sukan Asia Ke-20 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bokiah turut mengingatkan para atlet agar tidak membiarkan perbezaan suasana penginapan atau perkara-perkara di luar gelanggang menjadi gangguan atau batu penghalang kepada usaha untuk memberikan persembahan dan prestasi yang terbaik.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda mengambil maklum, di mana penginapan bagi pasukan wusyu semasa di Sukan Asia nanti ialah di Kapal Persiaran ataupun Cruise Ship bersama dengan atlet-atlet dari negara-negara lain.

“Sememangnya, suasana dan ‘atmosphere’ penginapan di atas kapal persiaran, adalah sesuatu yang berbeza jika dibandingkan dengan penginapan di hotel,” sabda DYTM.

Sehubungan itu, DYTM bersabda menyeru para atlet supaya berjuang dengan penuh kesungguhan dan semangat kesukanan demi mengharumkan nama NBD di Sukan Asia Ke-20, kerana Sukan Asia adalah sukan terbesar di benua Asia anjuran Olympic Council of Asia (OCA).

DYTM dalam sabda turut menekankan, para atlet juga hendaklah sentiasa menjauhkan diri daripada semua bahan terlarang dan mematuhi segala akta peraturan serta ketetapan berkaitan ‘anti-doping’, yang dikuatkuasakan oleh World Anti-Doping Agency (WADA).

Selain itu, DYTM juga menekankan kepentingan aspek Safeguarding Athlete kepada semua pegawai dan jurulatih kontinjen.

Menurut DYTM, kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan atlet-atlet hendaklah sentiasa menjadi keutamaan di sepanjang penyertaan di Sukan Asia Ke-20.

“Perkara ini adalah merupakan antara, aspek yang amat di titik-beratkan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan NBD, yang selaras dengan matlamat Olympic Council of Asia, bagi memastikan para atlet, dapat menjalani pertandingan dalam suasana yang selamat, sihat dan kondusif,” sabda DYTM.

Dalam sabda, DYTM juga menyifatkan penyertaan seorang atlet wanita dalam kontinjen negara kali ini sebagai amat signifikan kerana ia mencerminkan komitmen berterusan negara dalam mempromosikan penyertaan wanita dalam bidang sukan secara inklusif, di samping memperkukuhkan usaha ke arah pemerkasaan wanita dalam bidang sukan pada masa akan datang.

Terdahulu dalam sabda DYTM merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan atas sokongan yang diberikan kepada Majlis Olimpik Kebangsaan NBD bagi menghantar kontinjen negara ke temasya berkenaan.

Kontinjen NBD akan menyertai dua acara sukan, iaitu Karate yang diwakili seorang atlet lelaki dan wusyu yang disertai lima atlet, terdiri daripada seorang atlet wanita dan empat atlet lelaki.

Kontinjen berkenaan turut disertai seorang pegawai urus setia, seorang fisioterapi, tiga jurulatih dan seorang Chef de Mission.

DYTM bersabda menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet-atlet yang terpilih untuk mewakili negara serta berharap agar mereka dapat memanfaatkan kesempatan dan kepercayaan yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

“Berikanlah saingan yang terbaik kepada setiap lawan, di samping memegang amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi serta komitmen,” sabda DYTM.

Pada mengakhiri sabda, DYTM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta ibu bapa yang terlibat kerana sentiasa memberikan sokongan, dorongan dan komitmen berterusan kepada atlet-atlet yang akan menyertai Sukan Asia Ke-20 di Aichi / Nagoya, Jepun.

“Akhirnya, saya berdoa semoga kontinjen negara yang terdiri daripada atlet-atlet, jurulatih dan pegawai, akan sentiasa sihat walafiat dan dalam peliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin,” sabda DYTM.