Mendalami proses penghasilan syair secara lebih sistematik

15 Sep 2026 - 6:41am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Isnin, 14 September. - Para peserta 'Merangkai Irama Merintis Warisan : Bengkel Penulisan Syair Melayu' yang diadakan selama tiga hari diraikan dengan Majlis Penutupan hari ini di Bilik Patih Barbai, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Penyampaian sijil kepada para peserta disempurnakan oleh Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, DBP, Dr. Awang Haji Mohd. Ali bin Haji Radin.

Majlis Penutupan dimulakan dengan bacaan Doa 'Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam', diikuti dengan ucapan wakil peserta yang disampaikan oleh Dayang Nur Hafizah binti Mat Serudin.

Acara turut diserikan dengan persembahan menambang syair sebagai manifestasi penghayatan terhadap seni penyampaian puisi tradisional Melayu yang telah dipelajari sepanjang bengkel.

Bengkel anjuran Bahagian Sastera dan Majalah, DBP diadakan selama tiga hari yang dilaksanakan pada 10, 12 dan 14 September 2026 sebagai salah satu kegiatan sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana 1966-2026.

Pemudah cara bengkel tersebut ialah Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid, Elit Budaya dan Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award) 2003 ini memberikan pendedahan dan bimbingan secara praktikal kepada 27 peserta dalam memahami asas-asas penulisan syair Melayu. Para peserta terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi, pelajar prauniversiti, penulis muda dan orang ramai.

Sepanjang bengkel, para peserta berpeluang mendalami proses penghasilan syair secara lebih sistematik, termasuk penyediaan bahagian doksologi, isi syair dan apologi, di samping mempelajari proses pemurnian syair bagi memastikan karya yang dihasilkan menepati ciri, bentuk dan estetika puisi tradisional Melayu.

Bimbingan tersebut bukan sahaja memberikan kefahaman tentang struktur syair, malah membantu peserta memperkemas pemilihan kata, pembinaan rangkap, rima dan penyampaian cerita dalam menghasilkan karya yang lebih baik.

Sebagai hasil dapatan bengkel, para peserta diberikan dua bentuk tugasan, iaitu tugasan secara berkumpulan dan tugasan secara individu. Bagi tugasan berkumpulan, para peserta dibahagikan kepada enam kumpulan untuk menghasilkan syair mengikut tema, manakala tugasan individu memberikan ruang kepada setiap peserta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh sepanjang sesi bimbingan dalam menghasilkan karya masing-masing. Kesemua tugasan akan dinilai dan diterbitkan dalam majalah Bahana.

Para peserta turut berpeluang untuk menyertai Peraduan Penulisan Kreatif Bahana DBP 2026 bagi kategori syair, yang kini dibukakan sehingga 30 September 2026.

Penyertaan itu diharap dapat menjadi kesinambungan kepada bimbingan yang diterima sepanjang bengkel, sekali gus menyediakan ruang kepada peserta untuk mengetengahkan hasil karya mereka dan terus aktif dalam bidang penulisan syair.

Pelaksanaan bengkel berkenaan juga memperkukuh peranan majalah Bahana sebagai wadah perkembangan, pembinaan dan penerbitan karya sastera, khususnya dalam menggalakkan penglibatan penulis baharu dan meneruskan kesinambungan tradisi kesusasteraan Melayu bersempena enam dekad penerbitannya.