Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Ihsan Persatuan Motosikal Darusalam
TUNGKU LINK, Ahad, 26 Julai. – Seramai 71 ahli Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA) menyertai Touring Support Workshop yang berlangsung selama sehari di Mutiara Exchange, baru-baru ini.
Bengkel tersebut diadakan bagi memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan kesiapsiagaan ahli-ahli Pasukan Sokongan Jelajah PEMODA (Touring Support Team - TST) dalam melaksanakan tugas sokongan sepanjang konvoi rasmi, acara serta aktiviti jelajah anjuran persatuan.
Sepanjang bengkel, para peserta didedahkan mengenai definisi, misi, fungsi utama dan peranan TST sebagai pasukan yang terdiri daripada ahli-ahli terlatih yang bertanggungjawab memberikan sokongan operasi, penyelarasan keselamatan, pengurusan laluan, tindak balas kecemasan, bantuan pemulihan serta menjaga kebajikan penunggang sepanjang aktiviti jelajah PEMODA.
Antara misi utama TST ialah menyediakan sokongan jelajah yang profesional, boleh dipercayai dan selamat menerusi perancangan yang berkesan, penyelarasan, komunikasi, bantuan pemulihan serta perkhidmatan kebajikan kepada penunggang.
Peserta turut didedahkan kepada lima fungsi utama pasukan tersebut, iaitu perancangan jelajah, sokongan kerosakan kenderaan, tindak balas kecemasan, komunikasi, dan kebajikan penunggang. Melalui pendekatan ini, TST berperanan memastikan setiap aktiviti jelajah berjalan lancar, tersusun dan selamat, di samping menyediakan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan atau kerosakan kenderaan.
Bengkel itu juga menekankan nilai-nilai teras TST, iaitu Bersepadu, Beretika, Berdisiplin, Berhemah dan Berkualiti, sebagai panduan dalam melaksanakan tugas sokongan kepada ahli-ahli PEMODA.
Pada akhir bengkel, Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan Pengiran Haji Ahmad telah menyempurnakan penyampaian lencana kepada para peserta sebagai pengiktirafan atas penyertaan dan komitmen mereka mengikuti bengkel berkenaan.
Penganjuran bengkel tersebut diharap akan terus melahirkan lebih ramai anggota TST yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdedikasi dalam menyokong setiap aktiviti jelajah PEMODA, sekali gus memperkukuhkan budaya keselamatan, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan ahli persatuan.