Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BELAIT, Ahad, 18 Oktober. – KB Gempak 2 sekali lagi membuktikan bahawa acara berteraskan gaya hidup, muzik dan komuniti mampu menjadi platform yang berkesan dalam menyatukan masyarakat, memperkasa bakat tempatan serta menghidupkan suasana pelancongan dan aktiviti ekonomi di Daerah Belait.
Berteraskan tema 'Lifestyle, Muzic & Community', penganjuran KB Gempak 2 bukan sekadar sebuah acara hiburan, malah membawa matlamat untuk membina silaturahim, memperluas jaringan kerjasama antara komuniti serta menyediakan ruang kepada golongan belia, penggiat seni, peminat permotoran dan usahawan tempatan untuk bersama sama menjayakan sebuah acara yang inklusif dan berimpak positif.
Acara KB Gempak 2 berkenaan diadakan selama empat hari yang telah bermula pada 15 Oktober lalu di Kelab Rekreasi Brunei Shell (Brunei Shell Recreation Club - BSRC), di sini, dan berakhir pada hari ini.
KB Gempak 2 dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara Kampung Lumut 3 bersama Azzam As-Saffa dan Kamaloko Entertaiment Group.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara berkenaan, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Antara tarikan utama KB Gempak 2 ialah KB Bike Gathering yang dianjurkan bersama dengan KB Bikers dan Kumpulan Motosikal Dude Garage yang berjaya menghimpunkan lebih daripada 400 buah motosikal dan peminat permotoran dalam suasana yang meriah dan penuh semangat persaudaraan.
Kehadiran peserta bukan sahaja dari Negara Brunei Darussalam (NBD), malah turut melibatkan peminat permotoran dari negara jiran serta wilayah serantau, termasuk Sabah, Sarawak, Labuan dan Kalimantan.
Penyertaan merentas wilayah berkenaan memperlihatkan bahawa minat terhadap dunia permotoran mampu merentasi sempadan dan menyatukan individu daripada latar belakang yang berbeza. Pertemuan seumpama berkenaan juga membuka peluang untuk memperluas jaringan persahabatan, perkongsian pengalaman dan kerjasama antara komuniti permotoran di rantau Borneo.
Selain aktiviti permotoran, Battle of the Band turut menjadi antara acara penting yang menyumbang kepada kemeriahan KB Gempak 2 dengan menghimpunkan 18 kumpulan muzik tempatan, di samping merangsang aktiviti ekonomi dengan memberi peluang kepada pengusaha produk tempatan.
Kepelbagaian genre yang dipersembahkan memberi pengalaman hiburan yang berwarna warni kepada para pengunjung, di samping menyediakan ruang kepada kumpulan muzik untuk memperkenalkan identiti seni masing-masing kepada khalayak yang lebih luas.
Penganjuran Battle of the Band juga mencerminkan komitmen KB Gempak 2 dalam menyokong perkembangan industri kreatif tempatan.
KB Gempak 2 turut membawa potensi dalam merangsang aktiviti ekonomi setempat melalui kehadiran pengunjung, penyertaan peniaga dan penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan acara.
Peluang yang disediakan kepada keusahawanan, vendor makanan dan minuman serta pengusaha produk tempatan dapat membantu memperkenalkan perniagaan mereka kepada pelanggan baharu.
Pada masa yang sama, penglibatan sukarelawan, jawatankuasa penganjur dan rakan kerjasama memperlihatkan pentingnya semangat gotong-royong serta komitmen bersama dalam merealisasikan sebuah acara berskala komuniti.
Kejayaan penganjuran berkenaan juga menjadi bukti bahawa kerjasama strategik antara pihak penganjur, komuniti, penggiat seni dan peserta merupakan asas penting dalam membangunkan acara yang mempunyai nilai sosial dan ekonomi.