Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
TIANJIN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Ahad, 18 Oktober. - Timbalan Menteri Pendidikan, Negara Brunei Darussalam (NBD), Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, baru-baru ini menghadiri Persidangan Pembangunan Pendidikan Vokasional dan Teknikal Dunia 2026, yang berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober 2026 di Tianjin, Republik Rakyat China.
Persidangan tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan Republik Rakyat China, Suruhanjaya Kebangsaan Republik Rakyat China bagi UNESCO dan Kerajaan Rakyat Perbandaran Tianjin.
Persidangan tersebut menghimpunkan perwakilan dari lebih 100 buah negara dengan tema 'TVET: Embracing Change, Forging Standards and Building a Shared Future'.
Semasa sesi Meja Bulat Peringkat Menteri, Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan menegaskan semula komitmen NBD untuk memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama antara industri dengan institusi pendidikan, penerapan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, pembelajaran sepanjang hayat serta penggunaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan secara bertanggungjawab.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang bersedia menghadapi keperluan masa hadapan, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Delegasi NBD turut menghadiri sesi-sesi selari yang memfokuskan kepada pembangunan TVET, kerjasama serantau dan inovasi.
Delegasi juga menyaksikan Peringkat Akhir Pertandingan Kemahiran Kolej Vokasional Sedunia 2026 yang mempamerkan kemahiran vokasional dan kompetensi teknikal para peserta.
Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan diiringi oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, NBD.