Bengkel tingkatkan kesedaran keselamatan penunggang motosikal

24 Nov 2026 - 12:52am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Ihsan Persatuan Motorsikal Darussalam

JERUDONG, Isnin, 23 November. - Seramai 55 orang Ahli Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) baru-baru ini menyertai Defensive Riding Workshop yang diadakan di F1 SupaKart, Jerudong Park.

Bengkel berkenaan merupakan usaha sama PEMODA bersama Syarikat Memandu Redza sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran dan kemahiran penunggang motosikal dalam aspek keselamatan jalan raya, di samping menyahut seruan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Bengkel tersebut bertujuan membentuk penunggang motosikal yang lebih peka terhadap keadaan sekeliling, berupaya menjangka potensi bahaya serta bersedia mengambil tindakan awal bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Melalui bengkel berkenaan, para peserta didedahkan kepada prinsip 5M, iaitu Melihat, Memikirkan, Menilai, Melaksanakan dan Mengawal, yang menjadi asas kepada amalan penunggangan secara defensif.

Pada akhir bengkel, para peserta diharap akan dapat menerangkan dan mengaplikasikan prinsip 5M tersebut dalam pelbagai situasi jalan raya, termasuk ketika melalui persimpangan, menghadapi perubahan keadaan jalan serta keadaan persekitaran yang berbeza.

Pendekatan berkenaan diharap dapat meningkatkan keupayaan penunggang untuk membuat keputusan yang tepat dan mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.