Siaran Akhbar dan Foto : Bahagian Perhubungan Awam, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong
SENGKURONG, Isnin, 23 November. - Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) baru-baru ini mengetengahkan kreativiti, inovasi serta penyelesaian masalah secara kolaboratif dalam kalangan para pelajar melalui Pameran Pembelajaran Berasaskan Projek STEAM Enam Bawah 2026, yang menampilkan sebanyak 30 buah projek diterajui pelajar bagi menangani cabaran dunia sebenar.
Diadakan pada Khamis, 19 November 2026 bersempena dengan Hari Terbuka pusat berkenaan, pameran tersebut menyediakan platform bagi para pelajar membentangkan prototaip dan hasil penyelidikan mereka kepada warga sekolah serta para jemputan. Acara tersebut kemudiannya melabuhkan tirai dengan pameran kedua serta majlis penyampaian hadiah yang berlangsung pada Sabtu, 21 November 2026.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup berkenaan ialah Ketua Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Kementerian Pendidikan, Awang Haji Metusin bin Haji Jais.
Turut hadir, Awang Md. Azali bin Haji Ahmad yang mewakili Penguasa 2, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan.
Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua EDL-STEAM, diikuti dengan ucaptama oleh tetamu kehormat serta tayangan video bertajuk ‘PTES STEAM 2026 Journey’ yang memaparkan pencapaian dan perkembangan para pelajar sepanjang program berkenaan berlangsung.
Pada majlis itu, anugerah turut disampaikan kepada Lima Projek STEAM Terbaik bagi kohort berkenaan. Tempat pertama disandang oleh Kumpulan Einstein yang dianggotai oleh Angelina Raquel Caseres, Rachel Chin Sim Yi, Dayang Hanani ‘Arifah binti Haji Hamidun dan Dayang Zahra Imani menerusi projek mereka bertajuk ‘Oil Cycle’.
Keunikan utama Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM) di PTES adalah pengintegrasian 21 mata pelajaran akademik merentasi lima kumpulan antara disiplin, iaitu Einstein (Sains, Matematik dan Teknologi), Malala (Bahasa dan Pengajian Islam), Mandela (Kemanusiaan), Krugman (Keusahawanan) serta NanoTech (Sains).
Rangka kerja merentas disiplin ini menggalakkan para pelajar meneliti isu-isu kompleks dari pelbagai sudut dengan menggabungkan kemahiran analitikal, kreatif dan keusahawanan melangkaui batas bilik darjah tradisional.
Selain meraikan pencapaian akademik, inisiatif Pembelajaran Berasaskan Projek STEAM ini mencerminkan visi dan misi PTES iaitu ‘Memupuk Pemimpin Berdaya Tahan dan Warga Bersedia Masa Depan’ (Nurturing Resilient Leaders and Future-Ready Citizens).
Dengan menghubungkan pengetahuan teori dan aplikasi praktikal, program ini melengkapkan pelajar tingkatan enam dengan kemahiran berfikir secara kritis serta kebolehsuaian yang selaras dengan Wawasan Brunei 2035, khususnya ke arah melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Menerusi inisiatif utama seperti Pameran STEAM ini, PTES terus komited dalam memperkasakan para pelajar untuk meneroka idea-idea bernas, bekerjasama merentas disiplin, serta berkembang menjadi pelajar sepanjang hayat yang berkeyakinan tinggi.