Berkenan berangkat ke Majlis Santap bersama pesara ABDB

28 Jul 2026 - 7:03am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas

JERUDONG, Isnin, 27 Julai. – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) tetap terus berusaha menggariskan komitmennya yang berterusan sebagai tonggak pertahanan dan keselamatan negara dengan memastikan persekitaran yang aman dan damai melalui pertahanan secara holistik serta sekuriti yang jitu.

Dengan merafakkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berlangsung Majlis Santap sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 bersama pesara ABDB.

Majlis berlangsung di Royal Berkshire, Tarindak D'Polo, di sini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke majlis berkenaan. Juga berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong; Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad bin Haji Daud; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis.

Sejurus tiba, Kebawah DYMM dan kerabat diraja dijunjung untuk bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa majlis, kemudian berangkat masuk ke Dewan Royal Berkshire bagi Majlis Memotong Kek Hari Keputeraan baginda dan seterusnya berkenan menerima Pesambah Khas.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Kolonel (B) Mohammad Shafiee bin Haji Duraman.

Dalam sembah alu-aluan, Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit menyembahkan bahawa majlis berkenaan adalah sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas rahmat dan kurnia-Nya yang berterusan ke atas Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan berkat kepimpinan bijaksana, berdaulat dan penuh hikmah baginda selaku raja dan Ulil Amri payung negara.

Ia juga sembah Yang Amat Mulia lagi, bagi menzahirkan rasa penuh kegembiraan dan merafakkan sembah setinggi-tinggi tahniah dan curahan kasih sayang daripada para pesara dan sebagai lambang ikrar taat setia yang berterusan dan tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah DYMM atas kepimpinan dan keprihatinan baginda yang tulus.

Mencapai usia 80 tahun sembah YAM lagi, merupakan satu mercu tanda yang sangat signifikan dalam kehidupan insan sama ada daripada perspektif agama mahupun kehidupan biasa.

"Abis patik sangat-sangat bersyukur kerana berkesempatan dapat meraikan mercu tanda yang bersejarah ini bersama-sama dengan Kebawah Duli Tuan Patik dalam suasana yang aman dan berbahagia. Apatah lagi, sebilangan dari abis patik sendiri pun sudah mencapai atau melimpasi usia tersebut," sembah YAM lagi.

YAM dalam sembah juga turut mendoakan semoga Kebawah DYMM dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta seluruh ahli kerabat diraja akan sentiasa dikurniakan rahmat, nikmat, dan reda Allah Subhanahu Wata'ala di dunia dan akhirat, serta semoga Kebawah DYMM kekal karar memerintah NBD dengan petunjuk dan ihsan-Nya.

Majlis juga turut diserikan dengan persembahan nyanyian Lagu Khas berjudul 'Doa Untuk Raja' ciptaan Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Mohd. Tawih bin Abdullah dan dinyanyikan oleh beberapa pesara ABDB.

Sejurus selesai Majlis Santap dan sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM dijunjung ke Royal Lounge bagi menandatangani lembaran kenangan keberangkatan dan seterusnya berkenan bergambar ramai bersama para pesara ABDB yang berusia 80 tahun ke atas; dan bersama mantan-mantan ADC di Grandstand Pavilion.

Majlis Santap berkenaan antara lain bertujuan untuk menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan serta pemedulian baginda terhadap kebajikan para pesara ABDB, di samping untuk terus mengukuhkan semangat kesatuan dan perpaduan dalam kalangan pesara ABDB.