Bersama memelihara kemudahan awam, kawasan perkuburan

27 Jul 2026 - 6:20am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Majlis Perundingan Mukim Serasa

SERASA, Ahad, 26 Julai. - Majlis Perundingan Mukim Serasa pagi tadi menganjurkan Kempen Mencantas Pokok Laluan Tanah Perkuburan Orang Islam Sarai Pimping dengan kerjasama serta penyertaan penduduk Mukim Serasa.

Kempen berkenaan bertujuan untuk membersihkan dan mencantas pokok-pokok yang menghalang laluan menuju ke Tanah Perkuburan Orang Islam Sarai Pimping, sekali gus memastikan akses ke kawasan perkuburan lebih selamat dan selesa untuk digunakan oleh orang ramai.

Hadir menyertai kempen berkenaan, Penghulu Mukim Serasa, Awang Saiful Adli bin Ali Hassan; Ketua Kampung Serasa, Ketua Kampung Kapok, serta Pemangku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara.

Penglibatan para pemimpin masyarakat bersama penduduk setempat mencerminkan semangat bergotong-royong, perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam memelihara kemudahan awam, khususnya kawasan perkuburan yang menjadi tumpuan masyarakat.

Selain mencantas pokok-pokok yang menghalang laluan, para peserta turut membersihkan laluan utama menuju ke tanah perkuburan bagi memudahkan urusan waris dan penduduk yang menziarahi pusara ahli keluarga mereka.

Sebagai penutup, para penduduk bersama-sama membaca Tahlil bagi menghadiahkan pahala kepada ahli keluarga serta seluruh umat Islam yang telah kembali ke rahmatullah.

Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan doa memohon agar segala usaha kebajikan yang dilaksanakan diterima sebagai amal soleh.

Di samping itu bagi mengukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat Mukim Serasa.