Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 November. - Para peniaga daripada pelbagai sektor adalah dialu-alukan untuk menyertai acara Brunei Salebration 2026, yang akan berlangsung selama 42 hari bermula pada 7 Disember 2026 hingga 17 Januari 2027.
Acara jualan tahunan di peringkat kebangsaan ini menyediakan platform bagi para peniaga dari pelbagai sektor termasuk runcit, pasar raya, restoran dan ejen pelancongan, untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing melalui promosi dan tawaran menarik sepanjang tempoh tersebut.
Brunei Salebration 2026 juga merupakan sebahagian daripada acara yang dianjurkan sempena Pesta Disember Brunei Ke-10 (10th Brunei December Festival 2026) bagi memeriahkan musim cuti persekolahan akhir tahun serta merancakkan aktiviti perniagaan dan pelancongan di Negara Brunei Darussalam.
Penganjuran Brunei Salebration 2026 memberikan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai barangan dan perkhidmatan pada tawaran yang menarik, di samping membantu para peniaga meningkatkan keterlihatan perniagaan serta mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
Inisiatif ini juga diharap dapat menyokong usaha mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan yang menarik menjelang Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year 2027).
Acara Brunei Salebration diungkayahkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi domestik dengan menyokong perniagaan tempatan.
Inisiatif ini menggalakkan orang ramai berbelanja di dalam negara, di mana setiap dolar yang dibelanjakan akan membantu menyumbang kepada pengukuhan ekonomi tempatan, menyokong peluang pekerjaan serta memberi manfaat kepada peniaga tempatan.
Pendaftaran penyertaan bagi para peniaga dibuka bermula hari ini sehingga 7 Disember 2026.
Para peniaga yang berminat untuk menyertai boleh menghadapkan Borang Makluman Jualan yang lengkap diisi melalui e-mel ‘sales@jpes.gov.bn’. Borang berkenaan boleh dimuat turun melalui laman sesawang JPES di ‘www.deps.gov.bn’.
JPES turut mengingatkan para peniaga yang menyertai Brunei Salebration agar memastikan aktiviti jualan dijalankan secara telus dan beretika serta mematuhi Peraturan-peraturan Acara Harga Jualan Murah, Perintah Paparan Tanda Harga dan Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), Penggal 261.
Para peniaga hendaklah memastikan maklumat mengenai harga, kadar diskaun, terma dan syarat serta butiran promosi dipamerkan dengan jelas dan tepat bagi membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian berdasarkan maklumat yang mencukupi.
Bagi sebarang pertanyaan mengenai Brunei Salebration, orang ramai dan para peniaga boleh menghubungi JPES melalui e-mel di ‘sales@jpes.gov.bn’.