Catalyst 2026 wadah bentuk belia berdikari, berwawasan

21 Sep 2026 - 6:06am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Kemajuan Insan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 20 September. - Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) baru-baru ini melancarkan program Catalyst 2026 menerusi sesi utama yang pertama, ‘Catalyst 2026 Launch & Purpose: Build the Foundation to Lead’, yang berlangsung di Lecture Theatre, The Core, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Dengan sokongan UBD sebagai penaja lokasi, pelancaran tersebut menghimpunkan kumpulan baharu pelajar institusi pengajian tinggi dan menandakan permulaan perjalanan pembangunan selama beberapa bulan yang memberi tumpuan kepada tujuan hidup, pengurusan diri, komunikasi, pemikiran kritikal dan kepimpinan kendiri.

Sesi tersebut menampilkan ucapan pembukaan dan perkongsian utama oleh Presiden KESAN, Awang Haziq Hisyam Md. Zaki, serta taklimat program oleh Ketua Projek, Awang Halim Kahar.

Modul pertama memberi tumpuan kepada aspek ‘Purpose’, di mana para peserta diperkenalkan kepada ‘Purpose Equation’ KESAN dan dibimbing untuk membentuk pernyataan tujuan hidup masing-masing.

Sesi ini menggalakkan para peserta untuk melihat lebih jauh daripada matlamat akademik biasa dan memahami ‘Big Why’ mereka dalam memulakan perjalanan di universiti.

Antara pendekatan baharu Catalyst 2026 ialah pengenalan sistem ‘Peer Circle’ yang dikendalikan oleh para peserta sendiri, dengan penekanan kepada akauntabiliti rakan sebaya dan sokongan bersama.

Para peserta akan bertemu setiap minggu bagi menilai komitmen masing-masing, saling memberi galakan serta membina budaya tanggungjawab sebelum meneruskan perjalanan kepada sesi bimbingan formal melalui Catalyst Plus.

Dalam ucapan beliau, Awang Haziq Hisyam mengingatkan para peserta bahawa kehidupan di universiti bukan sekadar untuk mendapatkan kelayakan akademik.

“Tahun-tahun di universiti merupakan peluang untuk mengenali siapa diri kamu, apa yang kamu perjuangkan, dan bagaimana kamu boleh menjadi insan yang memberi manfaat kepada orang lain,” ujarnya.

Beliau turut menyeru para Catalyst untuk mencari tujuan hidup, mengurus diri, berani menyampaikan idea, berfikir dengan hikmah dan berkembang bersama.

Ditubuhkan pada 2014, program Catalyst merupakan antara usaha berterusan KESAN dalam membentuk belia yang mandiri, berwawasan dan berakhlak, selaras dengan motonya, ‘Menjana Insan Mulia’.