DBP terima sumbangan 101 naskhah buku

16 Okt 2026 - 7:01am

 

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

MUARA, Khamis, 15 Oktober. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Perpustakaan telah mengadakan Majlis Penyerahan Buku-buku Sumbangan dari Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam (NBD) serta Perasmian Sudut Maple di Perpustakaan DBP Muara, hari ini. 

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab. 

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke NBD, Tuan yang Terutama Dr. Tamer Mansy.

Dalam usaha memupuk minat membaca serta menyemai kecintaan terhadap buku, DBP telah menerima sumbangan sebanyak 101 naskhah buku dari Suruhanjaya Tinggi Kanada di NBD.

Sumbangan berkenaan merangkumi pelbagai genre, termasuk sejarah, budaya, sastera dan bahan bacaan kanak-kanak, yang diharap dapat memperkaya sumber bacaan mengenai Kanada di Perpustakaan DBP. 

Koleksi berkenaan juga memberikan peluang kepada masyarakat dan pengguna perpustakaan untuk mengenali dengan lebih dekat budaya, kehidupan serta sejarah Kanada melalui bahan bacaan yang disediakan. 

Sementara penubuhan Sudut Maple pula menyediakan ruang khas bagi menempatkan koleksi buku berkenaan agar lebih mudah diakses dan dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat, sama ada untuk tujuan pembelajaran, penyelidikan mahupun pembacaan umum. 

Inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk memperluas akses kepada bahan bacaan antarabangsa, malah diharap dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama antara NBD dengan Kanada. 

Usaha berkenaan juga selaras dengan Strategi Membaca Kebangsaan dalam menggalakkan budaya membaca serta memperluas pengetahuan masyarakat melalui bahan bacaan yang berkualiti.

Setakat ini, DBP telah menyediakan beberapa Sudut Bacaan yang menempatkan koleksi buku berkaitan pelbagai negara, termasuk Amerika Syarikat, Persekutuan Rusia, Kesultanan Oman, Republik Rakyat China, Republik India, Republik Türkiye, Malaysia, Republik Rakyat Bangladesh, Ukraine dan Republik Islam Pakistan. 

Dengan penambahan Sudut Maple, usaha DBP dalam memperluas koleksi bacaan antarabangsa diharap dapat terus diperkasa, sekali gus memperkayakan sumber ilmu dan memberikan lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk meneroka pengetahuan mengenai negara-negara di dunia. 

Sehubungan itu, DBP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Tinggi Kanada di NBD atas sumbangan buku-buku berkenaan. 

Diharapkan Sudut Maple akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pengguna perpustakaan dan menjadi salah satu wadah dalam memperluas pengetahuan, memupuk minat membaca serta menghubungkan masyarakat dengan kepelbagaian budaya dan ilmu dari seluruh dunia.