Ekspo haji, umrah berlangsung hingga 18 Oktober

16 Okt 2026 - 6:52am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

 

BERAKAS, Khamis, 15 Oktober. - Orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat dan panduan mengenai persediaan menunaikan ibadah haji dan umrah, selain meneroka pelbagai produk serta perkhidmatan berteraskan gaya hidup Islamik, menerusi penganjuran Journey of Faith 2026 - Ekspo Haji, Umrah dan Gaya Hidup Islamik di Airport Mall, Berakas.

Dianjurkan oleh Luminara Al Noor Enterprise, ekspo selama empat hari itu bermula hari ini hingga 18 Oktober 2026, bertempat di Ruang Atrium, Tingkat Bawah, Airport Mall, Berakas.

Majlis perasmian ekspo disempurnakan oleh Pengarah Urusan Haji, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Abdullah bin Haji Mohammad, selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, juga Ketua Kampung Belimbing, Subok.

Sejurus acara memotong reben perasmian, tetamu kehormat mengadakan lawatan di ruang eskpo dan beramah mesra bersama para vendor yang terlibat.

Dibukakan untuk orang ramai dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam, ekspo berkenaan memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan penerangan secara langsung daripada agensi-agensi pengendali haji dan umrah berlesen, khususnya mengenai pakej perjalanan, keperluan dan persediaan sebelum berangkat ke Tanah Suci. 

Penganjuran ekspo ini juga dihasrat untuk membantu bakal jemaah serta keluarga membuat perancangan yang lebih teratur dari segi ilmu, rohani, fizikal dan kewangan.

Dalam pada itu, ekspo ini turut menyediakan ruang kepada usahawan tempatan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan berkaitan gaya hidup Islamik. Penyertaan mereka diharap dapat membuka peluang perniagaan, meningkatkan pendedahan produk tempatan dan mengukuhkan jaringan kerjasama.

Pelbagai pengisian berbentuk perkongsian ilmu, aktiviti berkaitan haji dan umrah serta kegiatan kekeluargaan turut disediakan bagi mewujudkan pengalaman yang bermanfaat untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.

Pihak penganjur berharap Journey of Faith 2026 dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan persediaan sebelum menunaikan ibadah haji dan umrah serta menyemai minat masyarakat untuk terus mendalami ilmu agama.

Acara ini juga diharap dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat, agensi dan usahawan, di samping menyumbang kepada perkembangan pelancongan Islam serta ekonomi tempatan.

Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga untuk menimba ilmu, mendapatkan maklumat dan menyokong para peserta sepanjang ekspo berkenaan berlangsung.

Ekspo ini menampilkan HU Advertising dan Aliqpom Brunei sebagai rakan media, serta mendapat sokongan daripada Brunei Tourism, Jabatan Urusan Haji, KHEU dan Majlis Perundingan Mukim (MPM) Berakas ‘A’.