Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Oktober. - Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) hari ini melancarkan Pesta Konvo 2026, yang merupakan salah satu wadah meraikan kejayaan para pelajar yang bakal menamatkan pengajian, di samping menyediakan peluang kepada mereka untuk meneroka langkah seterusnya selepas tamat pengajian.
Majlis Pelancaran Pesta Konvo yang bertempat di Munawwarah Hall 2, Aras 7, Setia Point, di sini, disempurnakan oleh Pengarah Urusan Adinin Group of Companies, Awang Haji Musa bin Haji Adnin, selaku Ahli Lembaga Pengelola IBTE.
Selepas acara pelancaran, IBTE Career Fair 2026 telah diadakan bagi menghimpunkan pihak majikan serta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam memberi peluang kepada para pelajar dan bakal graduan IBTE untuk meneroka peluang kerjaya, latihan dan juga peluang pekerjaan bagi graduan serta laluan untuk melanjutkan pengajian.
Career Fair berkenaan disertai oleh pelbagai majikan daripada beberapa sektor industri, antaranya Adinin Works and Engineering, Brunei Fertilizer Industries (BFI), Brunei Innovation Lab (BIL), ESCA Marine and Engineering, Joffren Omar Company, Mahkota Maju Massutera Engineering, Mashhor General Contractor, Megamas Training Company, Serikandi Group of Companies, The Empire Brunei, serta beberapa organisasi lain yang mengambil bahagian.
Selain peluang pekerjaan, Career Fair berkenaan turut memberi ruang kepada para bakal graduan untuk meneroka peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Antara IPT yang mengambil bahagian ialah JPMC College of Health Sciences, Kolej International Graduate Studies (Kolej IGS), Laksamana College of Business dan Micronet International College, yang menyediakan peluang kepada para pelajar untuk mengetahui lebih lanjut mengenai laluan pendidikan selepas menamatkan pengajian di IBTE.
Penganjuran Career Fair berkenaan bertujuan menggalakkan para pelajar supaya lebih proaktif dalam merancang masa depan mereka.
Para pelajar digalakkan untuk berinteraksi dengan majikan, meneroka peluang di luar bidang pengajian, mengemukakan soalan yang berkaitan serta membina jaringan profesional.
Selain itu, mereka juga berpeluang mendapatkan maklumat mengenai jawatan peringkat permulaan, latihan, penempatan industri dan peluang pekerjaan untuk graduan.
Sebagai sebahagian daripada aktiviti Pesta Konvo, pengagihan jubah graduasi turut dilaksanakan bagi para bakal graduan.
Pengagihan berkenaan merangkumi ‘lace’, jubah serta jemputan konvokesyen bagi kumpulan pelajar daripada sekolah dan program IBTE yang berkenaan. Sesi pertama dijalankan dari pukul 9.45 pagi hingga 12.15 tengah hari, manakala sesi kedua berlangsung dari pukul 1.30 petang hingga 4.30 petang.
Melalui penganjuran Career Fair, peluang melanjutkan pengajian dan pengagihan jubah graduasi, IBTE terus memberikan sokongan kepada para bakal graduan dalam mempersiapkan diri untuk melangkah ke alam pekerjaan, keusahawanan, pendidikan lanjutan dan laluan kerjaya yang bersesuaian.
Pesta Konvo 2026 bukan sahaja menjadi wadah untuk meraikan pencapaian para graduan dalam pendidikan teknikal dan vokasional, malah turut menyediakan platform bagi mereka mempersiapkan diri untuk menghadapi fasa seterusnya dengan lebih yakin, berpengetahuan dan mempunyai jaringan yang bermakna.