Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Bomba dan Penyelamat
BERAKAS, Khamis, 26 November. - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) buat julung kalinya menganjurkan Program Rintis Bakti Khidmat Negara (PKBN), Komponen Perkhidmatan Awam 2026, yang berlangsung selama 10 hari bermula 16 hingga 25 November 2026, dengan penyertaan seramai 27 orang peserta.
Program berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai peranan dan tanggungjawab JBP, khususnya dalam aspek keselamatan kebakaran, operasi menyelamat serta khidmat bakti kepada masyarakat.
Sepanjang program, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti dan latihan praktikal yang disusun atur, antaranya pengenalan jabatan dan laluan kerjaya, Kursus Fire Marshal, latihan kawad ‘hydrant’, latihan kebakaran (fire drill), pengenalan kepada pengendalian bahan berbahaya (HAZMAT), latihan asas menyelamat menggunakan tali (basic rope rescue) serta demonstrasi penyelamatan khas dan penyiasatan kebakaran.
Sehubungan itu, Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Penghargaan baru-baru ini diadakan bertempat di Ibu Pejabat JBP.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Azmi bin Haji Hafneh yang seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada kesemua 27 peserta.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Khidmat Bakti Negara, Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat, Awang Mohd. Shahrin bin Haji Mohd. Jawie dan Pegawai-pegawai Kanan JBP dan PKBN.
Majlis turut menyaksikan pembentangan oleh wakil peserta mengenai pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang program, di samping tayangan sorotan aktiviti.
Penganjuran program tersebut diharap dapat memupuk disiplin, semangat kerjasama berpasukan, tanggungjawab dan kesedaran sivik dalam kalangan peserta, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap kepentingan keselamatan kebakaran serta peranan anggota bomba dan penyelamat dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.