Doa Kesyukuran sempena Anugerah Penghargaan Ilal Hijrah 1448

27 Jul 2026 - 7:10am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 26 Julai. - Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir bersama Ahli-ahli Muslimah Masjid Pehin Khatib Abdullah (PEKA), Kampung Kulapis, mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Anugerah Penghargaan Ilal Hijrah 1448 bagi Kategori Pewakaf.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan Anugerah Penghargaan Ilal Hijrah 1448 bagi kategori berkenaan kepada Awang Haji Hasbi bin Pehin Khatib Abdullah bersama isteri dan anak-anak serta keluarga, baru-baru ini.

Ia merupakan kategori yang pertama kali diperkenalkan khusus untuk para pewakaf.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis doa kesyukuran tersebut ialah Mantan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.

Turut hadir, Pemangku Ketua Kampung Kulapis, Awang Yushrizal bin Haji Abdul Rahman. 

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid PEKA, Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani, diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80.

Pada majlis tersebut, bacaan Dikir Assalamualaika dipersembahkan oleh pegawai masjid, AJK Takmir serta jemaah Masjid PEKA.

Acara diteruskan dengan Dikir Khairuman yang dibawakan oleh kumpulan dikir dari Kampung Burong Pingai Berakas, diikuti persembahan Dikir Bishahri dan Dikir Tanaqal oleh para pedikir dari Kampung Burong Pingai Ayer.

Selepas menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid PEKA, Awang Haji Md. Burhanuddin bin Haji Damit; majlis diteruskan lagi dengan persembahan Dikir Alhamd yang dibawakan oleh kumpulan pedikir dari Kampung Burong Pingai Berakas.

Sementara itu, Dikir Badat Aing Pasang dibawakan oleh Awang Haji Kambar @ Haji Abdul Rahman bin Haji Awang Lamit bersama Awang Abdul Manan bin  Othman; manakala Dikir Asyraqal Jawi oleh kumpulan pedikir dari Kampung Burong Pingai Berakas dan Kampung Burong Pingai Ayer. 

Bacaan Doa Dikir dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat. 

Majlis turut diserikan dengan persembahan Puisi Khas Yang Bertajuk Ikatan Jasa Berbalut Kenangan yang di sampaikan oleh Awang Haji Mohd. Amin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Sirat.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan penyampaian Cenderahati Penghargaan kepada Awang Haji Hasbi bin Pehin Khatib Abdullah, serta penyampaian Cenderahati Kenang-kenangan kepada tetamu  kehormat majlis. 

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran Khas yang dipimpin oleh Awang Abdul Azim bin Haji Mohamed Azman iaitu salah seorang daripada ahli keluarga yang diraikan.