Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BOLKIAH GARISON, Jumaat, 13 November. - Markas Angkatan Bersama (MAB) mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison sebagai tanda kesyukuran atas kepulangan tiga pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) setelah menamatkan penugasan mereka sebagai Ahli Independent Decommissioning Body, Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT) 7/2025 di Mindanao, Republik Filipina.
Kontinjen IDB VMAT 7/2025 diketuai oleh Leftenan Kolonel Pengiran Ridzamfaizal bin Pengiran Haji Salleh bersama dua pegawai iaitu Mejar Muhammad Asri bin Awang Haji Ahmad dan Kapten (U) Pengiran Muddathir Zaki bin Pengiran Haji Baharuddin. Ketiga-tiga pegawai tersebut selamat kembali ke tanah air pada 16 Oktober 2026.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut hadir, Chargé d' Affairés ad interim Kedutaan Republik Filipina di Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Bernadette A. Mendoza; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan Jawatankuasa Eksekutif ABDB; Atase Pertahanan Kedutaan Besar Republik Filipina di NBD; wakil daripada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan serta ahli keluarga kontinjen IDB VMAT 7/2025 yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, Surah Al-Mulk dan Asmaul Husna dan diteruskan dengan tazkirah bertajuk 'Kepulangan Yang Penuh Ibrah' yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Agama, Jabatanarah Agama, ABDB (JAMA'AT), Mejar Narulismandy@Anwar Hadi bin Haji Samaih.
Seterusnya, sijil dan cenderahati disampaikan kepada kontinjen IDB VMAT 7/2025 yang diiringi dengan laungan Dikir Marhaban.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sembahyang Sunat Hajat dan Sunat Duha, diikuti dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Sejak penubuhan IDB VMAT pada tahun 2019, NBD telah menghantar seramai 30 pegawai ABDB bagi menyokong usaha perdamaian di Mindanao, Republik Filipina. Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan NBD dalam memelihara keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, selaras dengan aspirasi strategik yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.