Hari Bakarih YSHHB 2026 platform tingkatkan usahawan tempatan

14 Nov 2026 - 8:08am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 November. - Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) hari ini mengadakan Majlis Pelancaran Hari Bakarih YSHHB 2026 (HBY 2026) yang berlangsung di Kompleks YSHHB, di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan HBY 2026 ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan YSHHB.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB; dan Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB.

HBY merupakan platform perniagaan bagi memperkenalkan produk-produk yang dihasilkan oleh Usahawan Bakarih Yayasan (UBY), iaitu para pengusaha yang mendapat manfaat daripada program bantuan modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan YSHHB.

Penganjuran HBY 2026 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan YSHHB dalam mendukung pencapaian taraf sara diri golongan sasar melalui pemerkasaan bidang keusahawanan.

Selain menyediakan bantuan modal perusahaan atau perniagaan, YSHHB turut memberikan sokongan pembangunan kapasiti, bimbingan serta peluang pemasaran bagi membantu para UBY membina perusahaan yang lebih mampan dan berdaya maju.

Melalui HBY 2026, para UBY berpeluang memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing secara langsung kepada orang ramai, mengembangkan rangkaian pelanggan serta memperoleh pengalaman dalam pemasaran dan pengurusan perniagaan, sekali gus mengukuhkan portfolio perniagaan mereka.

Inisiatif berkenaan juga dihasratkan untuk meningkatkan keyakinan dan keupayaan para pengusaha UBY dalam mengembangkan perusahaan masing-masing, seterusnya meningkatkan sumber pendapatan dan kesejahteraan keluarga.

Tahun ini merupakan kali kelima HBY dianjurkan dengan penyertaan seramai 32 pengusaha UBY yang mengusahakan pelbagai jenis perusahaan, termasuk makanan dan minuman, bakeri, kraftangan, pakaian, perkhidmatan serta produk tempatan.

HBY 2026 berlangsung selama 17 hari, bermula 13 hingga 29 November 2026, dari pukul 3.00 petang hingga 9.00 malam, bertempat di Khemah Jualan HBY 2026, Open Plaza, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Selain aktiviti jualan, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan untuk para pengunjung, antaranya Fun Fair, Kuiz HBY, Fitness Challenge, Peraduan Mewarna, Kempen Derma Darah, Persembahan Muzikal, E-sport FIFA Tournament, Pet & Reptile Show serta aktiviti tradisional Bamukun.

Sebahagian daripada hasil pendapatan aktiviti Fun Fair akan disumbangkan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA PMMAMB).

Orang ramai dialu-alukan untuk hadir dan memeriahkan HBY 2026 sebagai tanda sokongan kepada para pengusaha tempatan dalam kalangan golongan sasar YSHHB, selaras dengan semangat ‘Mau Bakarih, Sanggup Bajarih Untuk Balurih’.