ISB raikan pencapaian pelajar cemerlang

14 Nov 2026 - 8:21am

Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Antarabangsa Brunei

SUNGAI HANCHING, Jumaat, 13 November. - Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) pagi tadi meraikan pencapaian cemerlang graduan Tahun 11 dari kohort 2026 yang memperoleh keputusan cemerlang dalam International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) menerusi Majlis Sambutan Pencapaian IGCSE yang berlangsung di Bilik Teater, ISB.

Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Tahun 10 dan 11 ISB, Duffy Parry berkata bahawa menamatkan pengajian IGCSE memerlukan ketekunan, daya tahan, keberanian dan keazaman. Menurut beliau, apa yang lebih penting daripada pencapaian gred itu sendiri ialah pembelajaran yang diperoleh para pelajar mengenai diri mereka sepanjang melalui proses tersebut.

"Di samping cabaran membesar dan mengharungi dunia, mereka berjaya memenuhi tuntutan peperiksaan penting ini," katanya.

Kelas Tahun 11 ISB bagi tahun 2026 telah mengharumkan nama sekolah dengan keputusan cemerlang mereka, di mana 23 peratus memperoleh gred A* hingga A, lebih tinggi daripada purata UK iaitu 22 peratus.

Di samping itu, 82 peratus daripada kohort tersebut memperoleh gred A* hingga C, jauh melebihi purata UK iaitu 70.5 peratus. Seterusnya, 77 peratus pelajar memperoleh 5 atau lebih gred A* hingga C, termasuk Bahasa Inggeris dan Matematik, sekali lagi melepasi purata UK iaitu 67 peratus.

Keputusan yang dicapai ini menekankan rekod kecemerlangan akademik ISB sebagai sebuah sekolah inklusif dan mengukuhkan kedudukan sekolah tersebut sebagai pilihan utama untuk pendidikan IGCSE di Brunei Darussalam.

Ketua Sekolah Menengah ISB, Dr. Peter R. Jones berkata bahawa hari tersebut merupakan satu detik penting dalam perjalanan pembelajaran di ISB dan mencerminkan visi sekolah berkenaan iaitu "setiap individu mencapai kecemerlangan".

Menurut beliau, majlis berkenaan menjadi satu sambutan yang amat bermakna bagi menghargai segala usaha, ketekunan dan pencapaian yang ditunjukkan oleh setiap individu serta keseluruhan kohort IGCSE 2026.

"Ini merupakan satu sambutan yang benar-benar istimewa bagi meraikan hasil kerja keras, ketekunan dan pencapaian para pelajar, baik secara individu mahupun keseluruhan kohort IGCSE 2026," katanya.

"Tahniah kepada Kelas IGCSE 2026! Awda telah menunjukkan keazaman, sifat ingin tahu serta kecintaan yang tinggi terhadap pembelajaran. Jadikan pencapaian ini sebagai asas untuk melangkah ke fasa seterusnya sebagai pelajar International Baccalaureate (IB).

"Teruskan usaha untuk berkembang, bertanya dan mengejar kecemerlangan. Kami berharap dapat menyaksikan kamu terus menyerlah dalam Program IB dan seterusnya, dengan memanfaatkan bakat serta suara yang dimiliki untuk membawa perubahan kepada dunia," katanya.

Majlis tersebut menyaksikan tutor Tahun 11 menyampaikan sijil IGCSE kepada pelajar yang bergraduasi.

 Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raqeeqah Raayatul Bolqiah binti Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim antara pelajar graduan yang menerima Sijil IGCSE.

 Dr. Jones menyampaikan Anugerah Pencapaian (Attainment Awards) kepada pelajar yang memperoleh keputusan akademik tertinggi.

Penerima Anugerah Pencapaian ialah Jaydaa Ahmed dan Syahindah Sopian, yang masing-masing memperoleh sepuluh gred A*/A; Janae See, yang memperoleh sembilan gred A*/A; Omar Abdelmotaleb, yang memperoleh lapan gred A*/A; Insyirah Johari, Naomi Waite, Pasha Zak dan Sofia Luzuriaga, yang masing-masing memperoleh tujuh gred A*/A; Kayleigh Ang dan Mikail Ramchandani, yang masing- masing memperoleh enam gred A*/A; serta Ghauz Zed, Karim Menisy dan Nafis Sharen, yang masing-masing memperoleh lima gred A*/A.

Di samping itu, Dr. Jones turut menyampaikan Anugerah Kemajuan Tertinggi (Highest Progress Awards), yang mengiktiraf pelajar yang keputusannya menunjukkan kemajuan ketara. Penerimanya ialah Farida Othman, Jaydaa Ahmed, Omar Abdelmotaleb dan Suhail Khan.

Majlis tersebut turut menyaksikan ucapan daripada Ketua Pelajar Lelaki, Pasha Zak dan Ketua Pelajar Perempuan, Kyla Khalidkhan, yang kedua-duanya mengongsikan pengalaman IGCSE mereka dan mengucapkan tahniah kepada rakan sebaya mereka.

Acara kemuncak diserikan dengan persembahan muzik oleh para pelajar.

Majlis tersebut dihadiri oleh graduan Tahun 11 termasuk mereka yang kini berada di Tahun 12 mengikuti Program Diploma IB di ISB, serta ibu bapa, guru dan kakitangan.

Kelayakan IGCSE mendapat pengiktirafan yang dihormati di seluruh dunia, dan program IGCSE di ISB direka dengan teliti untuk menyediakan pelajar bagi peralihan ke Program Diploma IB. IGCSE membina asas pemikiran kritis, pembelajaran pelbagai disiplin dan pemahaman antara budaya dan kemahiran yang sangat dihargai oleh universiti dan majikan di seluruh dunia.

Melalui laluan yang ketat ini, pelajar ISB dilengkapi sepenuhnya dengan kesediaan untuk memulakan Program Diploma IB bertaraf dunia, sebagai persediaan untuk berjaya di universiti, dalam pekerjaan dan dalam masyarakat.