Meningkatkan kecekapan, kualiti perkhidmatan kutipan sampah

15 Okt 2026 - 6:30am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 14 Oktober. - Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Penandatanganan Dokumen Perjanjian bagi Program Perkhidmatan Kutipan Sampah Rumah ke Rumah di Perumahan Negara Kampung Rimba bersama enam buah syarikat perkhidmatan kutipan sampah yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan majlis penandatanganan berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr. Chin Wei Keh.

Turut hadir, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Pembangunan, ketua-ketua kampung Perumahan Negara Kampung Rimba serta wakil-wakil Majlis Perundingan Kampung.

Acara kemudiannya diteruskan dengan tayangan video yang memperkenalkan Program Perkhidmatan Kutipan Sampah Rumah ke Rumah di Perumahan Negara Kampung Rimba, sebelum disusuli dengan upacara penandatanganan dokumen perjanjian.

Terdahulu, Pengarah Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit dalam ucapannya menekankan akan kepentingan kerjasama dan komitmen semua pihak dalam memastikan kejayaan pelaksanaan program ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan adalah selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Pembangunan, khususnya dalam usaha mempertingkatkan mutu penyampaian Perkhidmatan Awam serta menyokong aspirasi negara ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Majlis penandatanganan dokumen perjanjian ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara pihak kerajaan dengan syarikat-syarikat perkhidmatan kutipan sampah. Kerjasama ini diharap dapat menyumbang kepada pelaksanaan sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik, cekap dan mampan.

Melalui program ini, perkhidmatan kutipan sampah dari rumah ke rumah di kawasan Perumahan Negara Kampung Rimba akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan teratur melalui pakej langganan yang telah ditetapkan.

Pendekatan ini bertujuan meningkatkan kecekapan serta kualiti perkhidmatan kutipan sampah, di samping menggalakkan amalan kitar semula dan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan sisa yang bertanggungjawab.

Enam buah syarikat perkhidmatan kutipan sampah yang dilantik bagi melaksanakan program ini ialah Syarikat Riziqi Enterprise, Mashhor Cleaning Services Sdn. Bhd., MSS Mega Sdn. Bhd., RKS Syed Mohammed Sdn. Bhd., Perusahaan BHB dan Perusahaan Samphon Resik.

Sehubungan itu, JASTRe menyeru penduduk Perumahan Negara Kampung Rimba agar memberikan kerjasama dan sokongan padu terhadap pelaksanaan sistem perkhidmatan kutipan sampah rumah ke rumah yang diperkenalkan.

Penglibatan aktif masyarakat, disokong oleh komitmen pihak kerajaan dan syarikat-syarikat perkhidmatan yang dilantik, amat penting bagi memastikan keberkesanan program ini serta menjamin kelestariannya dalam jangka panjang.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini bolehlah menghubungi JASTRe melalui talian +673 2241262, melayari laman sesawang rasmi ‘www.env.gov.bn’ atau mengikuti akaun Instagram rasmi ‘JASTRe’, ‘@jastre.bn’.