Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
JERUDONG, Isnin, 27 Julai. - Great British Circus bakal membuat penampilan sulungnya di Negara Brunei Darussalam (NBD) menerusi Persembahan 'The Legend of the Sea' yang akan berlangsung di Pusing Lagi Car Park, Jerudong Park, bermula 31 Julai hingga 23 Ogos 2026.
Jerudong Park Country Club Sdn. Bhd. (JPCC) merupakan rakan lokasi rasmi bagi Great British Circus di NBD. Perkara demikian diumumkan secara rasmi dalam satu Sidang Media yang berlangsung di Wonder Park Mini Amphitheatre, Jerudong Park Playground, di sini.
Semasa Sidang Media tersebut, Pengurus Am Jerudong Park Country Club Sdn. Bhd. (JPCC), Dayang Hajah Siti Norzalena binti Pehin Orang Kaya Lela Raja Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, JPCC berbesar hati menjadi rakan lokasi rasmi bagi acara yang menarik ini dan mengalu-alukan kehadiran Big Kid Entertainment ke Jerudong Park.
"Di Jerudong Park, kami percaya setiap kunjungan mampu mewujudkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan yang dapat menyatukan keluarga dan masyarakat. Kami mengalu-alukan semua pengunjung untuk menikmati pengalaman sarkas secara langsung yang penuh menyeronokkan," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah dan Pengurus Am Big Kid Entertainment (M) Sdn. Bhd., Omar Avila turut mengongsikan maklumat mengenai Great British Circus serta produksi terbaharunya. Menurutnya, 'The Legend of the Sea' ialah sebuah Persembahan Sarkas Akuatik secara langsung berdurasi dua jam yang memukau dan sesuai untuk seisi keluarga.
Menampilkan pentas sarkas air berteknologi moden serta barisan penghibur antarabangsa katanya lagi, persembahan ini menggabungkan aksi sarkas yang menakjubkan, kesan akuatik yang mempesona dan hiburan mesra keluarga yang diinspirasikan oleh keajaiban dunia laut.
Great British Circus merupakan cabang antarabangsa kumpulan jenama sarkas Big Kid Entertainment dan beroperasi di bawah Big Kid Entertainment (M) Sdn. Bhd.
Sebagai jenama di bawah kumpulan yang sama dengan Big Kid Circus di United Kingdom, Great British Circus telah mementaskan persembahan di Thailand, Republik Indonesia, Republik Sosialis Viet Nam dan Malaysia.
Pembelian tiket dapat diperoleh secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi Great British Circus. Pembelian tiket secara terus (walk-in) juga akan disediakan, di mana lokasi serta waktu operasi akan diumumkan melalui saluran rasmi Great British Circus.
Bagi pembelian tiket secara dalam talian, jadual persembahan dan maklumat lanjut boleh didapati di www.greatbritishcircus.com. Pembelian secara terus adalah tertakluk kepada ketersediaan tiket.