Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Oktober. - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) baru-baru ini telah berjaya menyempurnakan program penempatan kerja sulung yang melibatkan pegawai dari Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Republik Singapura, yang berlangsung di Negara Brunei Darussalam (NBD) dari 21 September hingga 2 Oktober 2026.
Program selama dua minggu berkenaan melibatkan penyertaan dua pegawai dari Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHD), MOM, Republik Singapura. Sebagai program penempatan kerja pertama SHENA yang melibatkan pegawai-pengawal selia dari luar negara, inisiatif berkenaan menyediakan platform yang bernilai bagi pertukaran pengetahuan perundangan, kepakaran teknikal serta pengalaman praktikal dalam bidang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada rangka kerja kawal selia NBD dalam pengurusan bahaya kemalangan besar (major accident hazards), termasuk penilaian kes keselamatan (safety case), perancangan pemeriksaan berasaskan risiko serta peranan dan tanggungjawab pemegang kewajipan (duty holders).
Perbincangan turut merangkumi pertimbangan kawal selia berkaitan kemudahan bergerak (mobile facilities), operasi bergabung (combined operations), aktiviti penyahtauliahan (decommissioning) serta pemulihan tapak (site restoration).
Melalui sesi perbincangan teknikal, semakan kajian kes dan lawatan tapak, para peserta telah berkongsi pandangan mengenai pendekatan kawal selia dan amalan operasi yang berkaitan dengan kemudahan darat dan luar pesisir.
Program berkenaan telah menggalakkan pembelajaran bersama serta memperkukuh kerjasama teknikal antara SHENA dan MOM dalam bidang pengawalseliaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Pada sesi penutup, SHENA telah menyampaikan sijil penyertaan kepada kedua-dua pegawai OSHD dan merakamkan penghargaan kepada pegawai-pegawai SHENA yang telah menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan program berkenaan.
Kejayaan pelaksanaan program penempatan kerja berkenaan menyerlahkan kepentingan kerjasama antarabangsa, pertukaran kepakaran teknikal dan pembelajaran berterusan dalam memperkukuh keupayaan pengawalseliaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Program berkenaan juga menandakan satu langkah penting ke arah mempertingkatkan lagi hubungan kerjasama dua hala antara NBD dan Republik Singapura dalam usaha mempromosikan tempat kerja yang lebih selamat dan sihat.