Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
DA NANG, REPUBLIK SOSIALIS VIET NAM, Isnin, 19 Oktober. - Negara Brunei Darussalam (NBD) telah menyertai Mesyuarat Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN Kali Ke-90 (COSTI-90) dan mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan, yang berlangsung pada 14 hingga 15 Oktober 2026 di Furama Resort Danang, Da Nang, Republik Sosialis Viet Nam.
Penyertaan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan NBD dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), di samping meneroka peluang kerjasama yang dapat menyokong pembangunan keupayaan dan keutamaan STI negara.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Pengarah Jeneral Jabatan Sains, Kementerian Pendidikan dan Sukan Lao PDR, Tuan Yang Terutama Souksavath Sihapanya, selaku Pengerusi COSTI, dan dihadiri oleh wakil-wakil Negara-negara Anggota ASEAN (ASEAN Member States-AMS) serta Sekretariat ASEAN.
Mesyuarat COSTI-90 menjadi platform bagi Negara-negara Anggota ASEAN untuk menyelaras keutamaan, meneliti kemajuan inisiatif bersama dan mengenal pasti peluang baharu bagi memperkukuh ekosistem STI serantau.
Perbincangan merangkumi kerjasama penyelidikan, pembangunan keupayaan dalam bidang ‘deep and emerging technologies’ (teknologi baharu muncul), pemindahan teknologi, pembangunan modal insan serta kerjasama dengan rakan dialog ASEAN.
Usaha-usaha berkenaan adalah penting dalam menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (APASTI) 2026–2035 serta menyumbang kepada Wawasan ASEAN 2045 yang berdaya saing, inovatif dan berteraskan pengetahuan.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan Keutamaan Ekonomi Utama (Priority Economic Deliverables-PEDs) bagi 2026, yang merangkumi ASEAN Declaration on the Advancement of Space Science, Technology and Innovation Cooperation dan Regional Programme for Science, Technology and Innovation on AI (Phase 1-Health Science and Technology).
Mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan Infrastruktur Pengkomputeran Berprestasi Tinggi ASEAN-Korea (ASEAN-Korea High-Performance Computing-HPC), yang menyediakan kemudahan pengkomputeran kongsi bagi menyokong penyelidikan dan pembangunan keupayaan dalam bidang pengkomputeran lanjutan.
Selain itu, mesyuarat membincangkan perkembangan pelaksanaan APASTI 2026-2035, inisiatif di bawah Dana Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (ASEAN Science, Technology and Innovation Fund-ASTIF), serta laporan kemajuan lima Jawatankuasa Kecil COSTI yang telah bagi memperkukuh penyelarasan dan pelaksanaan kerjasama STI ASEAN.
Dalam usaha menyumbang kepada agenda STI serantau, NBD turut mengetengahkan cadangan penyediaan ASEAN Quantum Action Plan (AQAP) bagi menggalakkan kerjasama ASEAN dalam bidang teknologi kuantum.
Cadangan berkenaan mencerminkan pengiktirafan terhadap kepentingan teknologi kuantum sebagai salah satu bidang teknologi baharu yang berpotensi membawa perubahan kepada pengkomputeran, komunikasi selamat dan pelbagai aplikasi saintifik serta industri.
Memandangkan pembangunan teknologi kuantum memerlukan kepakaran khusus, penyelidikan berterusan dan pelaburan dalam pembangunan keupayaan, kerjasama serantau dapat menyediakan ruang bagi perkongsian pengetahuan, penerokaan peluang penyelidikan bersama dan pembangunan kepakaran secara berperingkat.
Melalui cadangan AQAP, NBD berharap dapat menyumbang kepada usaha ASEAN dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap teknologi kuantum, di samping meneroka pendekatan kerjasama yang bersesuaian dengan tahap pembangunan dan keupayaan setiap Negara Anggota ASEAN.
NBD, selaku Penyelaras Negara bagi Kerjasama STI ASEAN-Kesatuan Eropah (ASEAN-EU), turut membentangkan laporan kemajuan kerjasama yang mengetengahkan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama kedua-dua rantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Inisiatif berkenaan termasuk ASEAN-EU ELEVATE, Pelan Hala Tuju Diplomasi Sains ASEAN dan Dialog Mobiliti Bakat STI (DESTINY), yang memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran, mobiliti bakat, pemindahan pengetahuan serta pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi penyelidikan dan universiti.
Penyertaan NBD dalam COSTI-90 juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh asas pembangunan Kerangka Strategi STI Kebangsaan. Penglibatan dalam perbincangan dan inisiatif serantau membolehkan NBD meneliti perkembangan teknologi, memahami keutamaan bersama ASEAN serta mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh dimanfaatkan dalam membangunkan keupayaan STI negara.
Perkembangan seperti kerjasama dalam HPC, Kecerdasan Buatan (AI), teknologi angkasa dan teknologi kuantum turut memberikan input yang berguna dalam mempertimbangkan bidang keutamaan, pembangunan modal insan, pengukuhan penyelidikan dan hubungan antara institusi penyelidikan dengan industri.
Pada masa yang sama, pengalaman dan amalan Negara-negara Anggota ASEAN lain dapat membantu memperkayakan pertimbangan dalam merangka pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan NBD.
Melalui penglibatan aktif dalam COSTI dan kerjasama STI ASEAN, NBD dapat memastikan pembangunan STI negara bukan sahaja memenuhi keperluan dan aspirasi kebangsaan, malah mengambil kira peluang kerjasama serantau dan perkembangan teknologi global.
Pendekatan berkenaan penting dalam memperkukuh ekosistem STI yang mampu menyokong penyelidikan, menggalakkan inovasi, meningkatkan penerapan teknologi dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara mampan.
Di samping mesyuarat berkenaan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) turut mengatur lawatan ke Da Nang Intelligent Operations Centre (IOC), sebuah pusat operasi bandar pintar yang memanfaatkan teknologi digital dan analisis data untuk memantau keadaan bandar serta menyediakan maklumat dan analisis yang bernilai kepada pihak berkepentingan bagi menyokong perancangan, penyelarasan dan proses membuat keputusan.
Lawatan berkenaan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada delegasi NBD mengenai pendekatan dan amalan terbaik Da Nang dalam penggunaan data dan teknologi bagi menyokong pengurusan bandar pintar, serta meneliti pengalaman yang boleh dijadikan rujukan dalam penerokaan inisiatif digital dan teknologi pintar di NBD.
Delegasi NBD ke Mesyuarat COSTI-90 diketuai oleh Setiausaha Tetap, MTIC, Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof. Delegasi negara turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan dari MTIC, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).