Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
GADONG, Isnin, 19 Oktober. – Majlis Penutup Kursus Literasi Maklumat Islam anjuran Perpustakaan (Maktabah) Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah diadakan baru-baru ini di Maktabah UNISSA, Kampus Gadong.
Majlis penutup kursus disempurnakan oleh Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, yang turut menyampaikan sijil kepada para pembentang dan peserta.
Kursus yang diadakan selama dua hari pada 15 dan 17 Oktober 2026 berkenaan disertai oleh para pegawai dan kakitangan dari Jabatan Mufti Kerajaan, Pejabat Peguam Negara, Jabatan Muzium-Muzium, Balai Khazanah Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pusat Da’wah Islamiah, Jabatan Pengajian Islam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dewan Bahasa dan Pustaka serta mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi.
Kursus berkenaan memberi penekanan kepada konsep celik maklumat serta kaedah memanfaatkan sumber rujukan Islam yang muktabar dalam menghadapi cabaran penyebaran maklumat pada era digital.
Ketua Perpustakaan UNISSA, Dayang Norhasinah binti Haji Moksin, dalam ucapannya menjelaskan bahawa kursus berkenaan menggabungkan teori literasi maklumat dengan latihan praktikal bagi membimbing peserta merujuk sumber Islam yang muktabar dan sahih.
Menurutnya lagi, pendekatan berkenaan bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang celik ilmu dan berupaya menapis maklumat berlandaskan syariat.
Antara pengisian kursus ialah sesi ‘Sumber Maklumat Islam Bercetak’ yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Kajian Manuskrip Islam (PKMI), UNISSA, Dr. Haji Ahmad Baha bin Haji Mokhtar, diikuti Bengkel Indeks Manuskrip yang dikendalikan oleh para pelajar pusat berkenaan.
Peserta turut mengikuti sesi ‘Sumber Maklumat Islam Digital dan Dalam Talian’ serta Strategi Pencarian Maklumat Islam yang disampaikan oleh Pustakawan UNISSA, Dayang Amal Syukriyyah binti Haji Abdul Kahar.
Kursus diakhiri dengan sesi ‘Sumber Tidak Sahih Dalam Pengajian Islam’ yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Usuluddin, UNISSA, Dr. Muhammad Zakir bin Husain.
Penganjuran kursus berkenaan diharap dapat meningkatkan keupayaan masyarakat mengenal pasti kesahihan sumber maklumat Islam, di samping membendung penyebaran berita palsu dan maklumat yang mengelirukan, khususnya di media sosial.