Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Perubatan Jerudong Park
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 November. – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) baru-baru ini telah menerima kunjungan wakil dari Siloam Hospitals Group, Republik Indonesia bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang penjagaan pesakit serantau, diagnosis dan rawatan, di samping memperkenalkan perkhidmatan penjagaan pakar yang disediakan oleh JPMC di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Kunjungan berkenaan susulan penglibatan JPMC bersama sebuah hospital Siloam di Balikpapan pada awal tahun ini.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha JPMC dalam bidang pelancongan perubatan bagi membina hubungan dengan penyedia perkhidmatan kesihatan serantau.
Pemahaman terhadap keupayaan dan kepakaran masing-masing menjadi asas untuk mengenal pasti bidang perkhidmatan yang boleh saling melengkapi serta peluang kerjasama pada masa hadapan.
Delegasi berkenaan terdiri daripada Head of Referral, Martinus Jarman; dan International Referral from Siloam’s Head Office in Karawaci, Republik Indonesia, Riza Dalem.
Ketibaan delegasi dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Operasi JPMC, Neelakannan Periyasamy; Pengarah Perkhidmatan Perubatan Am, Dr. Haji Muhd. Hiza Wardy bin Haji Abd. Halim; Dr. Dayangku Norazieda binti Pengiran Haji Mohd. Yassin; serta pegawai-pegawai kanan JPMC yang lain.
Turut menyambut delegasi berkenaan semasa lawatan ke kemudahan JPMC, Pakar Perunding Onkologi Radiasi, Dr. Jacob Samuel Justin; Pakar Perunding Perubatan Nuklear, Dr. Hamid Naseer; dan Pakar Perunding Perubatan Rehabilitasi, Dr. Lee Chooi Lynn, yang masing-masing memperkenalkan jabatan mereka.
Perbincangan tertumpu kepada penerokaan bidang-bidang yang berpotensi bagi kerjasama rujukan pesakit. Kunjungan berkenaan masih pada peringkat pengenalan, yang memberi peluang kepada kedua-dua organisasi untuk saling mengenali dengan lebih dekat serta mempertimbangkan kemungkinan bagi perbincangan lanjut.
Ketua Unit Perhubungan Pesakit Antarabangsa JPMC, Wendy Chok, berkata bahawa usaha membangunkan hubungan penjagaan kesihatan serantau bermula dengan memahami perkhidmatan yang dapat ditawarkan oleh setiap penyedia perkhidmatan.
"Antara aspek penting dalam usaha ini ialah membantu penyedia perkhidmatan kesihatan di rantau ini memahami perkhidmatan penjagaan pakar yang tersedia di Brunei, di samping mempelajari perkhidmatan dan perspektif mereka.
"Susulan lawatan kami ke Balikpapan, pertukaran ini memberikan peluang kepada pasukan Siloam untuk melihat sendiri kemudahan JPMC dan memahami dengan lebih dekat keupayaan kami," ujarnya lagi.
Wendy Chok seterusnya berkata walaupun usaha berkenaan masih pada peringkat penerokaan, pemahaman bersama tersebut menjadi asas untuk mempertimbangkan bidang kerjasama pada masa hadapan yang dapat memberikan manfaat kepada pesakit.
Lawatan berkenaan meliputi kemudahan perubatan rehabilitasi, neurosains, perubatan nuklear dan radioterapi, sekali gus memberikan gambaran lebih dekat kepada delegasi mengenai perkhidmatan yang diperkenalkan semasa perbincangan berkenaan.
Bagi JPMC, usaha menjalin hubungan dengan pihak serantau memberi peluang untuk membina hubungan profesional serta meneroka bagaimana perkhidmatannya dapat menyumbang kepada penjagaan kesihatan di rantau ini.
Pertukaran kunjungan pada peringkat pengenalan berkenaan turut menyokong usaha asas dalam memajukan pelancongan perubatan dengan meningkatkan pemahaman penyedia perkhidmatan kesihatan serantau mengenai keupayaan penjagaan kesihatan pakar di NBD.