JPMC tingkatkan kerjasama serantau dalam sektor pelancongan perubatan

15 Okt 2026 - 6:03am

Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong Park Medical Centre

KUCHING, SARAWAK, Rabu, 14 Oktober. - Jerudong Park Medical Centre (JPMC) baru-baru ini menyertai Borneo Global MediTourism Congress and Expo 2026 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar yang ditawarkan di Negara Brunei Darussalam (NBD), di samping memperkukuh hubungan dengan rakan penjagaan kesihatan di Sarawak.

Acara yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching pada 12 hingga 13 Oktober 2026 itu menghimpunkan penyedia perkhidmatan kesihatan, pemudah cara pelancongan perubatan serta rakan industri dari seluruh rantau ini.

JPMC turut diberikan pengiktirafan sebagai rakan strategik semasa majlis pembukaan acara berkenaan.

Penyertaan tersebut memberi peluang kepada JPMC untuk memperkenalkan dengan lebih lanjut perkhidmatan pakarnya kepada rakan serantau, selain membincangkan potensi kerjasama bagi melengkapi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang tersedia di kawasan masing-masing.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha meneroka kerjasama yang dapat membantu pesakit mendapatkan akses kepada penilaian pakar dan rawatan di NBD.

JPMC diwakili oleh Pengurus Pemasaran dan Perhubungan Awam, Dayang Azhani Abu Daniel, bersama Dayang Wendy Chok dan Dayang Farhah Matsalleh, wakil daripada Unit Perhubungan Pesakit Antarabangsa.

Ketua Unit Perhubungan Pesakit Antarabangsa JPMC, Dayang Wendy Chok, berkata penyertaan berkenaan membolehkan pihaknya memahami dengan lebih mendalam potensi sumbangan perkhidmatan pakar JPMC dalam sektor pelancongan perubatan serantau.

“Penyertaan kami membantu memahami dengan lebih baik bagaimana perkhidmatan pakar JPMC dapat menyumbang kepada pelancongan perubatan di rantau ini serta melengkapi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang tersedia di seluruh Borneo,” katanya.

Penyertaan itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas JPMC dalam memperkukuh penglibatan dalam bidang pelancongan perubatan, khususnya bagi memudahkan pesakit dan doktor perujuk dari negara jiran mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan yang ditawarkan, mendapatkan nasihat pakar serta menyelaras penjagaan kesihatan di NBD.

Sehubungan itu, pesakit dan doktor perujuk yang ingin mengetahui kesesuaian perkhidmatan berkenaan dengan keperluan mereka boleh menghubungi Unit Perhubungan Pesakit Antarabangsa JPMC melalui e-mel ‘international.care@jpmc.com.bn’ untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Maklumat juga boleh diperoleh menerusi laman sesawang hospital berkenaan, khususnya halaman Pesakit Antarabangsa yang menyediakan panduan mengenai akses kepada perkhidmatan yang ditawarkan.

JPMC mengalu-alukan pertanyaan daripada orang ramai yang ingin mengetahui pilihan rawatan yang tersedia serta langkah seterusnya bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan khusus.