Lebih 500 peserta meriahkan Run for H.O.P.E. 2026

19 Okt 2026 - 6:33am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 18 Oktober. - Jabatan Penjara dengan kerjasama Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Zahara Charity Foundation, hari ini, menganjurkan Run for H.O.P.E. 2026, berlangsung di BIBD Connects, Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara.

Acara yang membawa mesej harapan, pemulihan dan peluang kedua ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan lebih 516 orang dari pelbagai lapisan masyarakat.

Berangkat menyertai larian amal tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, yang berkenan menyertai kategori Wanita Terbuka bagi jarak lima kilometer.

Acara dimulakan dengan sesi pemanasan badan, dikendalikan oleh Jurulatih Jasmani dan Sukan Jabatan Penjara. 

Sesi berkenaan diikuti dengan pelepasan para peserta yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Hajah Nor Hamidah binti Haji Hamidon.

Acara Run for H.O.P.E. turut disertai oleh delegasi antarabangsa yang mewakili Jabatan  Penjara Malaysia, Lembaga Pemasyarakatan Kalimantan Indonesia, Singapore Prison  Service (SPS) dan Hong Kong Correctional Services Department (CSD). 

Penyertaan delegasi antarabangsa berkenaan mencerminkan jalinan kerjasama dan hubungan profesional yang erat antara institusi pemulihan di peringkat serantau dan antarabangsa. 

Di samping itu, penyertaan tersebut turut membuka ruang kepada pertukaran pengalaman dan amalan terbaik dalam pembangunan insan, pembinaan semula  kehidupan serta sokongan komuniti.

Acara juga dimeriahkan dengan persembahan Pasukan Serunai dan Tambur Jabatan Penjara. 

Para pengunjung juga berpeluang mengunjungi gerai-gerai jualan yang dikendalikan oleh Aftercare Support Association, rakan-rakan seliaan serta vendor-vendor jemputan yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan.

Run for H.O.P.E 2026 mempertandingkan dua kategori jarak, iaitu 10 kilometer dan lima kilometer, dengan setiap kategori merangkumi empat kategori pertandingan iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran dan Wanita Veteran. 

Selain itu, larian santai sejauh tiga kilometer (Fun Run) turut diadakan bagi memberi peluang kepada keluarga dan orang ramai untuk turut serta menyatakan sokongan terhadap usaha pemulihan dan pemberian peluang kedua kepada bekas penghuni penjara.

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan sokongan komuniti terhadap usaha membantu bekas penghuni penjara membina semula kehidupan mereka serta kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif dan menyumbang secara positif kepada komuniti.

Bagi acara larian sejauh 10 kilometer, kategori Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka masing-masing dijuarai oleh Hulubalang Malik dan Hani Sabri, manakala kategori Lelaki Veteran dan Wanita Veteran dimenangi oleh Sefli Anak Ahar dan Linda Chin Hui Chin.

Sementara itu, bagi acara larian sejauh lima kilometer, kategori Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka masing-masing dimenangi oleh Mohd. Azwar dan Liyana Zakaria, manakala kategori Lelaki Veteran dan Wanita Veteran pula dimenangi oleh Haji. Mohd Baharuddin dan Erin Liam.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan), KHEDN.

Penganjuran acara ini turut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan Ke-56 bagi Tahun 2026.

Run for H.O.P.E. 2026 memperlihatkan komitmen bersama untuk mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif, di mana usaha pemulihan disokong dan peluang kedua diberikan ruang untuk berkembang. 

Sebagai rakan strategik Jabatan Penjara, BIBD turut memainkan peranan dalam menyokong pelbagai inisiatif yang menjurus kepada pendidikan, pembangunan kemahiran dan pemerkasaan individu. 

Kerjasama yang terjalin ini melengkapkan usaha pemulihan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara,  sekali gus membantu mewujudkan lebih banyak peluang untuk individu membina semula kehidupan mereka dan kembali menyumbang secara positif kepada masyarakat.

Run for H.O.P.E. mencerminkan komitmen bersama antara agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat dalam memperkukuh usaha pemulihan serta reintegrasi sosial. 

Inisiatif seumpama ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat bahawa proses pemulihan tidak berakhir selepas seseorang dibebaskan dari penjara, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan agar mereka dapat membina kehidupan yang lebih stabil, produktif dan bermakna.