Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohd. Zul Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 29 Oktober. - Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat Tahap 1 yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), selama tiga hari, bermula 27 Oktober lalu berakhir hari ini dengan penyampaian sijil kepada para peserta kursus.
Kursus yang berlangsung di Room 5, Multipurpose Room, Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah itu bertujuan melahirkan tenaga pengajar yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeupayaan mengendalikan pengajaran Al-Quran kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) Pendengaran.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap, KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Imam Tingkat II, Masjid Kampung Labu Estate, Awang Khairulamirin Fitri bin Haji Samsuddin, diikuti dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Kanan, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Awang Haji Mohammad Romeezy @ Abdul Qayyum bin Haji Metusin selaku Timbalan Pengerusi Kursus.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa penganjuran kursus berkenaan merupakan inisiatif untuk memperkasa pendidikan Al-Quran secara inklusif, khususnya bagi golongan OKU Pendengaran.
Kursus itu juga katanya, bertujuan memberikan pendedahan asas kepada tenaga pengajar mengenai kaedah penyampaian dan komunikasi Quran Isyarat secara sistematik, berkesan dan bersesuaian dengan keperluan golongan berkenaan.
Menurutnya, selain meningkatkan kompetensi tenaga pengajar, kursus itu diharap dapat memperluas akses kepada pembelajaran Al-Quran bagi semua lapisan masyarakat tanpa keciciran, di samping menyokong usaha memperkukuh syiar Islam dan pembangunan modal insan.
Seramai 30 peserta menyertai kursus berkenaan, terdiri daripada pegawai-pegawai KHEU, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, serta Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Peserta turut melibatkan pegawai daripada Jabatan Pengajian Islam, Pusat Da'wah Islamiah, Jabatan Pendakwaan Syarie, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Jabatan Urusan Haji dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bagi tahun ini, pelaksanaan kursus ditumpukan kepada Tahap 1, iaitu penguasaan kemahiran asas Quran Isyarat.
Sementara itu, Tahap 2 yang memfokuskan kemahiran pedagogi pengajaran Quran Isyarat dan Tahap 3 yang melibatkan kemahiran lanjutan, termasuk penulisan mushaf Al-Quran dan kaedah terjemahan Bahasa Isyarat, dirancang untuk dilaksanakan pada tahun hadapan, tertakluk kepada perancangan dan penyelarasan yang bersesuaian.
Kursus berkenaan dikendalikan oleh enam orang tenaga pengajar yang terdiri daripada dua fasilitator dan empat penceramah dari Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Rombongan berkenaan diketuai oleh Felo Kanan UMMI, Profesor Madya Dr. Noornajihan binti Jaafar, dan turut disertai Profesor Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad juga merupakan Felo Kanan UMMI; Felo Budi UMMI, Siti Ramna binti Khamaruddin; Nurul Afifah binti Osman juga merupakan Felo Budi UMMI; Penolong Pendaftar UMMI, Siti Rahmah binti Ahmad Razuan; dan Felo Budi UMMI, Mohammad Azami bin Mohammad Nawawi.
Kursus itu turut menggunakan pendekatan 'Train-the-Trainer' bagi melahirkan tenaga pengajar Quran Isyarat yang kompeten dan mampu menyebarluaskan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh kepada tenaga pengajar lain, rakan sekerja, ahli keluarga, komuniti dan pihak berkepentingan.
Pendekatan berkenaan diharap dapat memastikan perkongsian ilmu dan kemahiran Quran Isyarat dilaksanakan secara berterusan, sekali gus memperluas peluang pembelajaran Al-Quran yang inklusif.
Antara matlamat utama kursus ialah melahirkan tenaga pengajar Quran Isyarat yang berkualiti, berkemahiran dan berkeyakinan; memperkasa pendidikan Al-Quran secara inklusif di Negara Brunei Darussalam; meningkatkan penglibatan golongan OKU Pendengaran dalam pembelajaran dan pengajaran Al-Quran; serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang prihatin, inklusif dan berteraskan nilai-nilai Islam.
Majlis diakhiri dengan persembahan oleh para peserta kursus, diikuti dengan penyampaian sijil kepada fasilitator, moderator dan peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Melalui penganjuran kursus berkenaan, usaha memperluas pendidikan Al-Quran kepada golongan OKU Pendengaran diharap akan terus diperkasa melalui penyediaan tenaga pengajar yang terlatih dan kompeten, selaras dengan aspirasi untuk memastikan setiap lapisan masyarakat berpeluang mendekati dan mempelajari Al-Quran.