Kelulusan BEEP sebagai pengendali sistem pembayaran ditarik balik

3 Nov 2026 - 7:17am

Siaran Akhbar : Brunei Darussalam Central Bank

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 November. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa kelulusan yang diberikan kepada Beep Digital Solutions Sdn. Bhd. (BEEP) untuk beroperasi sebagai pengendali sistem pembayaran telah ditarik balik berkuat kuasa mulai 30 September 2026.

Penarikan balik kelulusan berkenaan adalah susulan daripada penilaian penyeliaan yang dijalankan oleh BDCB terhadap pematuhan BEEP terhadap keperluan kawal selia, serta penamatan operasi perkhidmatan pembayarannya secara teratur.

Sehubungan itu, BEEP tidak lagi dibenarkan untuk menjalankan aktiviti sebagai pengendali sistem pembayaran yang diluluskan di Negara Brunei Darussalam.

BDCB kekal komited dalam memelihara integriti dan kestabilan sistem pembayaran di negara ini serta memastikan pengendali sistem pembayaran beroperasi selaras dengan undang-undang dan keperluan kawal selia yang telah ditetapkan.

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi BDCB melalui e-mel ‘info@bdcb.gov.bn’ atau talian +673 8318388 semasa waktu pejabat.