Komitmen memperkukuh masyarakat yang inklusif, adil, berdaya tahan

14 Okt 2026 - 7:29am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

KIARONG, Selasa, 13 Oktober. -  Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) hari ini membuka tirai Program Disability Inclusive Training : Brunei Disability Camp 2026 bertempat di Bangunan The FORUM, Blok 'B', Tingkat 3, (satu bangunan dengan Pejabat Progresif Sdn. Bhd.), Simpang 137-65, Kampung Kiarong, Jalan Pasar Baru Gadong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan majlis pelancaran program berkenaan, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS),  Dayang Fauziah binti Haji Mohd. Salleh.

Program berkenaan dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Oktober 2026.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (Brunei Darussalam National Association of the Blind - BDNAB), Awang Mohammad Hakim Imanuddin bin Asarwih.

Seterusnya, majlis menyaksikan ucapan alu-aluan oleh Penasihat MKOKU, Awang Haji Abdul Alim bin Awang Haji Othman, diikuti dengan sesi pelancaran program yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Dalam pada itu, seramai 43 peserta mengikuti program berkenaan yang terdiri daripada wakil  Ahli-ahli Persatuan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang bergabung dengan MKOKU serta juga pegawai-pegawai dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), KKBS dan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan.

Adapun Disability Inclusive Training : Brunei Disability Camp merupakan satu program pembangunan anjuran MKOKU bagi golongan OKU, ibu bapa atau penjaga, ahli keluarga OKU serta tenaga pengajar dengan tujuan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bersama.

Program berkenaan membahaskan lima topik penting berkaitan dengan kehidupan OKU, iaitu pendidikan, pekerjaan, aksesibiliti, kesihatan dan perlindungan sosial. Oleh itu, Disability Inclusive Training berkenaan merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh agenda pembangunan masyarakat yang inklusif, adil dan berdaya tahan.

Melalui pelaksanaan program berkenaan, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada OKU, malah turut membantu organisasi dan masyarakat memahami kepentingan menghormati hak asasi manusia serta kepelbagaian keupayaan.

Selain itu, ia juga dihasratkan lebih banyak pihak akan memainkan peranan aktif dalam membentuk persekitaran yang lebih inklusif, mudah diakses dan selamat untuk semua. Pendekatan berkenaan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih progresif, sejahtera dan tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang.